Selasa, 20 Februari 2018 | 11:37am
POGBA (tengah) dikhabarkan tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan oleh Mourinho. -Foto Agensi

Pogba, Mourinho perlu berdamai elak kritikan

LONDON: Kunjungan Manchester United dalam Liga Juara-Juara ke Sevilla awal pagi Khamis ini ialah pertembungan utama buat gergasi Inggeris itu yang terpaksa menelan rasa malu untuk membayar 89 juta pound (RM484.57 juta) buat Paul Pogba, empat tahun selepas dia meninggalkan Old Trafford ke Juventus sebagai pemain bebas.

Bagaimanapun, masih belum pasti sama ada pemain tengah Perancis itu akan memulakan saingan di Sanchez Pizjuan bagi saingan pertama kelompok 16 pasukan terakhir berikutan masalah kecergasan.

Pogba masih belum pernah bermain 90 minit dalam tempoh sebulan apabila dikeluarkan Jose Mourinho ketika tewas di tangan Tottenham dan Newcastle selain tidak bermain ketika menang mengatasi Huddersfield di Old Trafford.

Laporan akhbar Perancis muncul minggu lalu bahawa Pogba tidak gembira dengan peranan diberikan Mourinho kepadanya, terutama untuk bertahan seperti dilaksanakan  pengendali dari Portugal itu.

Mourinho mengatakan Pogba sudah pasti mengisi tempat pilihannya di sayap kanan dalam kalangan tiga pemain tengah bagai saingan Piala FA yang dimenangi mereka Sabtu lalu menentang Huddersfield sekiranya dia tidak diketepikan sejam sebelum perlawanan kerana sakit.

Kehadiran Alexis Sanchez di kiri serangan United pada Januari menambah parah perbezaan itu ketika Pogba dan penyerang Chile itu masih belum bermain bersama selama 90 minit.

Mourinho menggambarkan khabar angin wujudnya masalah komunikasi antaranya dan Pogba sebagai "pembohongan besar",namun tidak menyembunyikan kritikan terhadap prestasi pemain berusia 24 tahun itu.

"Pada ketika ini dia tidak bermain baik... dan pasukan perlukannya pada tahap terbaik."

Lebih buruk, dalam tempoh beberapa minggu antara dua pertemuan dengan Sevilla, United juga akan menanti kehadiran Chelsea dan Liverpool dalam Liga Perdana dengan ketiga-tiga pasukan terikat dalam pertarungan bagi berada dalam kelompok empat pasukan teratas.

"Apabila dia tidak bermain pada tahap terbaik, pasukan juga tidak berada dalam keadaan baik seperti sepatutnya," kata Mourinho.

"Saya rasa ia berlaku terhadap semua pasukan apabila pemain terbaik, pemain paling penting, untuk sebarang sebab tidak beraksi dengan baik." - AFP

Berita Harian X