Isnin, 19 Februari 2018 | 11:05am
MAURICIO Pochettino enggan memikirkan beban tambahan yang perlu dipikul Spurs. -Foto AFP

Pochettino tidak kisah jadual makin padat

LONDON: Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino tampak enggan memikirkan bebanan tambahan yang terpaksa dipikul skuad kendaliannya selepas mereka diikat 2-2 oleh kelab kerdil, Rochdale pada aksi Piala FA, awal pagi tadi.

Keputusan pusingan lima itu menyaksikan Spurs perlu mengharungi perlawanan ulangan di Wembley sekali gus menambah kepadatan jadual kerana mereka turut beraksi di kancah Liga Juara-Juara.

Selain itu, Spurs turut sibuk memburu tempat empat terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Piala FA seperti magis," kata Pochettino yang sebelum ini diketahui kurang menggemari saingan Piala FA. "Kami mempunyai satu lagi peluang di Wembley, situasi sama seperti sebelum ini."

Pengurus kelahiran Argentina itu juga tidak percaya keputusannya meninggalkan penyerang prolifik, Harry Kane di bangku simpanan sebagai punca juara lapan kali Piala FA gagal meraih kemenangan.

"Tidak, saya agak tenang di bangku simpanan kerana saya mengetahui dengan amat baik apa yang berlaku jika kamu percaya perlawanan ini sudah berakhir.

"Ia berlaku. Kami melepaskan dua peluang terbaik, satu daripadanya adalah hampir dan satu daripada sepatutnya gol."

Pochettino juga mengucapkan tahniah kepada Rochdale dengan berkata peningkatan prestasi yang ditampilkan kelab Liga Satu Inggeris itu tidak mengejutkannya.

"Saya tidak terkejut. Kejohanan ini jelas sesuatu yang amat berbeza. Newport (pusingan empat) memberikan kami perlawanan yang amat menarik dan mereka kemudian tewas pada perlawanan berikutnya dalam liga mereka 5-0.

"Motivasi sentiasa besar. Bukan mudah untuk bermain dalam perlawanan seperti ini. Sudah tentu kamu mahu menang tetapi kami mempunyai kemungkinan untuk menang (perlawanan ulangan)." - AFP

 

 

Berita Harian X