Rabu, 7 Februari 2018 | 11:51pm
PEMAIN Selangor, Rufino Segovia meraikan jaringan bersama Amri Yahyah pada aksi Liga Super menentang Melaka United di Stadium Cheras. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Gergasi belasah Kancil

KUALA LUMPUR: Jaguh Lembah Klang, Selangor terus cemerlang selepas menjadikan Melaka United mangsa kedua menerusi kemenangan selesa 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.

Matador Sepanyol, Rufino Segovia terus memperagakan bisanya apabila meledak dua gol pada aksi bertemu anak buah Eduardo Almeida sekali gus membantu penyerang berusia 32 tahun itu mengumpul empat jaringan dalam dua perlawanan setakat ini.

Percaturan P Maniam memasukkan Syahmi Safari yang diketepikan pada aksi pembukaan bertemu Kuala Lumpur turut memberi impak selepas pemain skuad Bawah 23 tahun itu meledak gol kedua untuk membolehkan Selangor kembali mendahului sekali gus mengembalikan rentak perlawanan mereka sebelum menambah gol peribadi keduanya pada minit akhir permainan.

Pada aksi itu, tuan rumah memberikan amaran awal menerusi tandukan pertahanan tengah, Willian Pacheco seawal minit ketiga menerusi sepakan sudut namun Melaka lega selepas percubaan pemain Brazil itu sekadar melewati palang.

Bagaimanapun, Rufino berjaya meledak gol ketiganya musim ini selepas menyambut hantaran Razman Roslan yang disudahkan menerusi rembatan leret menewaskan penjaga gol Melaka, Zamir Selamat untuk gol pertama Selangor pada minit ketujuh.

Namun, Selangor tersentak apabila Melaka mengikat kedudukan pada minit ke-28 menerusi sepakan percuma Tiago Gomes yang melepasi jangkauan Norazlan Razali meskipun dia sudah merebahkan badan ke arah yang betul untuk cuba menepis tendangan itu.

Selangor perlu menyalahkan diri sendiri kerana sepatutnya boleh mendahului satu gol di hujung babak pertama apabila dihadiahkan sepakan penalti namun Rufino seakan hilang sengat apabila penaltinya mudah dibaca Zamir sekali gus membolehkan kedudukan kekal 1-1 selepas 45 minit.

Namun kesilapan Zamir yang cuba mengeluarkan bola mengundang padah apabila percubaannya tiba di kaki Syahmi yang mudah menolak bola masuk ke gawang kosong untuk gol kedua Selangor pada minit ke-54.

Enggan selesa berkelebihan dengan satu gol, Selangor terus bernafsu memburu gol ketiga dan ia diperoleh hasil serangan balas pantas menerusi K Kannan yang melakukan hantaran lintang namun dikeluarkan pertahanan pelawat sebelum Rufino menebus kesilapan babak pertama dengan voli kencang menewaskan Zamir buat kali ketiga pada minit ke-67.

Syahmi menambah derita pelawat dengan gol keempat Selangor yang juga adalah jaringan peribadi keduanya pada perlawanan itu menerusi satu rembatan deras dari sebelah sayap kanan pada minit ke-89.

Berita Harian X