Rabu, 7 Februari 2018 | 5:48pm
JURULATIH skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Datuk Ong Kim Swee (kanan) yakin anak buah pasti bersemangat jika usaha FAM bida hak selaku tuan rumah aksi akhir Kejohanan AFC B-23 2020 itu berjaya.

Peluang lebih cerah di laman sendiri: Kim Swee

 

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Datuk Ong Kim Swee percaya anak buahnya pasti akan lebih bersemangat jika usaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membida hak selaku tuan rumah pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 2020 berjaya.

Menurutnya, aksi di laman sendiri tidak akan memberi banyak kelebihan kepada pemain namun sokongan padu penyokong bakal menjadi elemen penting buat pemain dalam memburu kelompok empat terbaik untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Bagi saya ini adalah satu usaha yang baik oleh FAM di mana mahu membida untuk menjadi tuan rumah pusingan akhir kejohanan itu. Jika berjaya, selaku tuan rumah kita tak boleh terlalu selesa kerana ia bukan jaminan untuk kita mendapat kejayaan tapi sekurang-kurangnya dengan sokongan padu penyokong, ia akan memberi impak berlainan kepada pemain kita.

"Jelas langkah ini yang turut dipersetujui oleh Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim membuktikan FAM sudah membuat persiapan rapi untuk menghadapi kejohanan itu. Meskipun kita masih ada tempoh dua tahun, kita mesti membuat perancangan awal dan langkah pertama adalah dengan membida hak selaku tuan rumah," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Perancangan untuk membida hak tuan rumah pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 2020 diumumkan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin kelmarin sebagai usaha untuk membantu skuad muda negara merebut tiket ke Sukan Olimpik selepas kali terakhir di Moscow 1980.

Selain itu, Hamidin turut mengesahkan bahawa mereka bersetuju untuk menghantar skuad terbaik B-23 ke Sukan Asia Indonesia Ogos ini meskipun ada cadangan awal oleh Kim Swee untuk menyenaraikan ramai pemain B-21 sebagai persiapan menghadapi pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 2020 tahun depan.

Bagi Kim Swee yang membimbing pasukan melakar sejarah mara ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 di China bulan lalu tiada masalah dengan persetujuan yang dicapai itu.

"Kita akan menghantar skuad B-23 ke Sukan Asia, cuma bila masanya nanti, saya akan lihat bagaimana pemilihan pemain itu kerana Liga Malaysia sedang berjalan," kata bekas pengendali Harimau Malaya itu.

25 dibaca
Berita Harian X