Rabu, 7 Februari 2018 | 1:12pm
AKSI pemain import Pahang, Mohamadou Sumareh (kiri) bersaing dengan pemain pemain Perak, Shahrul Mohd Saad pada saingan Liga Super 2018 pada 4 Februari di Stadium Darul Makmur. - Foto BERNAMA

Tok Gajah tak rela pulang tangan kosong

KUANTAN: Pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang percaya tiga mata mampu diraih skuad itu apabila bertemu PKNS FC di Stadium Shah Alam, malam ini.  

Biarpun bakal diberi tentangan sengit oleh tuan rumah, namun beliau yakin misi itu mampu dicapai bersandarkan komitmen daripada kejurulatihan dan pemain.  

Katanya, kemenangan itu perlu untuk meletakkan skuad Tok Gajah pada kedudukan lebih baik selepas sekadar mengutip satu mata ketika seri tanpa jaringan dengan Perak pada perlawanan pertama Liga Super.  

"Apa yang perlu dilakukan pemain adalah mengikut percaturan jurulatih (Dollah Salleh) dengan memperkasakan jentera serangan dan tengah.  

"Saya percaya perlawanan pertama liga lalu banyak membantu dari segi memperbaiki segala kelemahan dan meningkatkan prestasi semua pemain.  

"Tiada yang mustahil untuk meraih kemenangan ke atas PKNS FC kerana bersandarkan kepada pengalaman pemain, misi ini akan terlaksana," katanya.  

Justeru, Mohammed Suffian mahu semua pemain bijak menyempurnakan segala peluang yang ada untuk memastikan tiga mata menjadi milik skuad Tok Gajah.  

Pada masa sama, katanya, jentera pertahanan juga diarah lebih bersedia kerana menjangkakan serangan awal akan dilakukan tuan rumah.  

"Saya minta semua pemain Tok Gajah dapat mengekalkan disiplin sepanjang 90 minit perlawanan untuk mengelak dikecewakan lawan," katanya.

Berita Harian X