Isnin, 5 Februari 2018 | 11:40am
PENYOKONG balas kritikan Mourinho. FOTO/AFP

Penyokong balas kritikan Mourinho

LONDON: Penyokong Manchester United membalas kritikan Jose Mourinho berhubung suasana hambar di Old Trafford.

Mourinho berkata penyokong United 'senyap' ketika pasukan mereka menang 2-0 ke atas Huddersfield dalam aksi Liga Perdana Inggeris Sabtu lalu.

Pengurus United itu kemudiannya memetik stadium Portsmouth Fratton Park sebagai contoh stadium dengan suasana yang bagus.

Dalam satu kenyataan, Kumpulan Penyokong Manchester United berkata: "Kami ingin mengambil perhatian terhadap komen pengurus berhubung suasana hambar di Old Trafford ketika pertembungan menentang Huddersfield di laman sendiri.

"Kemerosotan sokongan tidak hanya dirasai di Old Trafford. Ia satu isu yang membabitkan semua kelab di seluruh negara. Ia bukan satu isu yang spesifik terhadap penyokong Manchester United. Sokongan kami mendapat pengiktirafan sebagai yang terbaik di negara ini."


MOURINHO kecewa dengan penyokong United yang hambar. FOTO/AFP

Bercakap kepada media Sabtu lalu, Mourinho ditanya mengenai pemain baru Alexis Sanchez sebelum memperkatakan mengenai penyokong.

"Dia hanya bermain tiga perlawanan (sejak meninggalkan Arsenal) dan yang pertama di Old Trafford dan saya fikir Old Trafford, biarpun sebuah stadium yang senyap, padangnya besar, rumputnya bagus dan pemain selesa bermain di sini," kata beliau.

Ketika diminta menjelaskan mengenai kenyataannya itu, Mourinho membalas: "Ini bukan Portsmouth.

"Saya masih ingat Portsmouth. Ia sebuah stadium yang kecil namun suasananya luar biasa.


SANCHEZ perlu buktikan kemampuan kepada penyokong United. FOTO/AFP

Di sini, suasananya agak senyap dan tidak begitu bersemangat namun pemain suka bermain di laman sendiri."

Awal musim ini Mourinho berkata penyokong United 'terlalu senyap' ketika menang ke atas Leicester 2-0 Ogos lalu.

Beliau juga meluahkan rasa kurang gembira dengan peminat United berikutan layanan kurang adil terhadap Romelu Lukaku ketika menewaskan Tottenham 1-0 Oktober lalu. -AFP

15 dibaca
Berita Harian X