Isnin, 5 Februari 2018 | 10:51am
KLOPP berang dengan Moss yang memberi dua penalti kepada Spurs. FOTO/AFP

Klopp salahkan pengadil

LIVERPOOL: Pengurus Liverpool Juergen Klopp berang dengan keputusan pengadil yang memberikan penalti saat akhir kepada Tottenham Hotspur yang membolehkan mereka seri 2-2 dalam aksi di Anfield awal pagi tadi dan penjaga garisan menjadi sasaran kemarahan beliau.

Pasukan tuan rumah itu hampir mendahului lima mata mengatasi Tottenham di tangga kelima selepas Mohamed Salah meletakkan mereka 2-1 pada minit terakhir sebelum Spurs diberikan penalti.

Pengadil Jon Moss membuat keputusan itu selepas berbincang dengan penjaga garisan yang menyaksikan kekasaran Virgil van Dijk ke atas Erik Lamela, dan Harry Kane memanfaatkannya untuk gol Liga Perdana ke-100 peribadinya dan satu mata buat pasukan.

Sepakan penalti itu adalah yang kedua diberikan kepada Tottenham dalam perlawanan itu selepas Kane dikatakan dikasari lawan pada minit pada minit ke-83.

Ulangan permainan menunjukkan pemain itu di kedudukan ofsaid sewaktu dia mendapat bola namun penjaga garisan tidak mengibarkan bendera, mendakwa hantaran kepada Kane dilakukan Dejan Lovren.


LOVREN didakwa terkena bola yang memboleh pengadil memberi kedudukan onside kepada Kane. FOTO/AFP

"Sentuhan paling sedikit sepanjang permainan itu menentukan nasib perlawanan. Ia bukannya penalti," kata Klopp.

"Lamela berlari ke arah Van Dijk, dia melihatnya pada saat akhir. Lamela sudah pun berada di bawah. Pengadil kata teruskan, penjaga garisan membuat keputusan dan itulah yang berlaku.

"Jelas sekali penjaga garisan tersilap. Penalti pertama itu adalah keputusan ofsaid paling jelas pernah saya saksikan. Saya tidak tahu jika ada peraturan baru. Apabila bola melepasi kaki pemain Tottenham, Harry Kane dikira ofsaid. Pertahanan yang bagus meletakkannya di kawasan ofsaid."

Klopp berkata Lovren tidak melakukan hantaran tetapi kakinya terkena bola.

"JIka saya boleh katakan apa yang saya fikirkan, saya sedia membayar denda terbesar dalam bola sepak. Saya tidak kisah jika melakukan kesalahan tetapi ini adalah ofsaid," kata jurulatih kelahiran Jerman itu. - Reuters


VAN Dijk (kanan) didakwa menjatuhkan Lamena.

32 dibaca
Berita Harian X