Ahad, 4 Februari 2018 | 1:29am
PEMAIN TFC I, Tchetche Kipre (kiri) diasak pemain PKNS FC pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi. - Foto Rozainah Zakaria

TFC, Semut Merah sama handal

KUALA TERENGGANU: Pendatang baharu Liga Super, Terengganu FC (TFC) gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri selepas sekadar seri 2-2 dengan PKNS FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Berbekalkan sokongan padu lebih 8,000 peminat setia, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim hampir mendahului pelawat tetapi rembatan kencang Lee Tuck pada minit kelapan dapat dibaca penjaga gol lawan, Mohd Shahril Saari.

Tiga minit berselang, Tchetche Kipre terlepas peluang keemasan apabila rembatan dalam kotak penalti sedikit tersasar.

Begitu juga percubaan Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-16 hanya melintasi sebelah kiri pintu gol.

Pada minit ke-24, perlawanan terpaksa diberhentikan seketika kerana hampir tercetus pergaduhan, namun pengadil, Mohd Zamzaidi Khatimin berjaya meleraikan aksi panas itu.


ABDUL Malik Mat Ariff (dua dari kanan) cuba dihalang pemain PKNS FC pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi. - Foto Rozainah Zakaria

Kerja keras skuad Penyu untuk memburu jaringan pendahuluan akhirnya berhasil apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Abdul Malik dijatuhkan dan berjaya disempurnakan kapten kelahiran Ivory Coast, Kipre pada minit ke-36 untuk meletakkan pasukannya di depan 1-0.

Tersentak jaringan itu, skuad Semut Merah kendalian Datuk K Rajagobal memperkemaskan gerakan dan pada minit ke-39 berjaya menyamakan kedudukan melalui rembatan Mohammad Qayyum Marjoni Sabil.

Bersambung babak kedua perlawanan, penyerang import PKNS FC, Rafael Ramazotti melepasi perangkap ofsaid sebelum berjaya meledak jaringan kedua pasukannya pada minit ke-68.

Bagaimanapun lima minit berselang, Kipre yang digelar 'Drogba Terengganu' menyamakan kedudukan 2-2 menerusi rembatan mengelirukan dari luar kotak penalti untuk kedua-dua pasukan berpuas hati mengutip satu mata.

Berita Harian X