Sabtu, 3 Februari 2018 | 2:11pm
PENGENDALI Tottenham Hotspurs, Mauricio Pochettino resah menjelang aksi menentang 'enam gergasi' Liga Perdana Inggeris (EPL). - Foto EPA-EFE

Rekod temu '6 teratas' jadi igauan Pochettino

LONDON: Mauricio Pochettino percaya rekod buruk Tottenham Hotspur bertemu kelab 'enam gergasi' Liga Perdana Inggeris (EPL) menjadi punca mengapa kelab London itu terus buntu menjulang gelaran liga.

Di bawah kendalian pengurus dari Argentina itu, Tottenham hanya menang sekali daripada 18 perlawanan menentang pencabar-pencabar utama gelaran elit itu dan ia adalah pada dua tahun lalu di Manchester City.

Ia jelas statistik yang mengecewakan Pochettino yang dijadual bertemu skuad kendalian Jurgen Klopp, Liverpool di Anfield, esok, pertembungan yang dianggap memberi impak besar dalam perebutan kedudukan empat teratas liga.

"Mungkin inilah sebabnya kami gagal memenangi gelaran, mengapa kami tidak menang Liga Perdana," kata Pochettino. "Mungkin kerana kami adalah pasukan yang muda di Liga Perdana dan mungkin kami perlukan masa untuk matang.

"Ada begitu banyak alasan mengapa ia berlaku. Dalam 19 perlawanan di laman lawan menentang pasukan enam terbaik, empat kemenangan adalah untuk pasukan lawan.

"Bagi semua orang, ia adalah satu masalah. Pada penghujungnya, ia adalah bagaimana kami menamatkan saingan di kedudukan liga.

"Kami menamatkan saingan musim lalu di kedudukan kedua, ketiga pada musim sebelumnya. Sudah tentu jika kami menang lebih banyak pada aksi di tempat lawan, saya yakin kami akan menjulang gelaran tetapi kami kekurangan sesuatu untuk mencapainya."

Pochettino juga tidak gusar untuk mengatakan adalah salah untuk membandingkan Tottenham dengan kelab-kelab gergasi di EPL kerana kedudukan kewangan mereka amat berbeza.

Bagi saya, tidak adil untuk membandingkan Tottenham dengan Liverpool, Chelsea, Arsenal, (Manchester) United dan City," kata Pochettino.

"Tidak ada persamaan, hanya pda musim lalu kami menamatkan liga di kedudukan kedua dan sebelum itu ketiga dan mereka menamatkan saingan di bawah kami." - Agensi

Berita Harian X