Selasa, 30 Januari 2018 | 11:31am
BINTANG bola sepak Inggeris, David Beckham meraikan kejayaannya selepas penantian empat tahun untuk memiliki francais MLS. - Foto AFP

Beckham mahu ulangi formula 'Kelas 92'

MIAMI: David Beckham mahu mengulangi tradisi pembangunan remaja Manchester United dalam usaha mencipta kejayaan bersama francais baru Major League Soccer miliknya di Miami.

Bintang bola sepak Inggeris itu meraikan kejayaannya selepas penantian empat tahun untuk memiliki francais MLS beraksi pada sidang akhbar yang meriah di Florida.

Beliau menerima ucapan semoga berjaya daripada kelompok peminat baru 'Southern Legion' antaranya Neymar, Tom Brady, Usain Bolt dan bintang ternama Hollywood, Will Smith.

Masih tiada nama dan logo bagi pasukan itu dengan kontroversi membabitkan pembangunan stadium berkapasiti 25,000 penonton di Overtown di kawasan Miami yang mana kumpulan hartanah Beckham membeli sebidang tanah dengan kos melebihi AS$25 juta (RM97.4 juta).


DAVID Beckham (depan, dua dari kanan) bersama pemain 'Kelas 92' yang mencipta nama di Manchester United dan membantu kelab itu mencipta kejuaraan demi kejuaraan di bawah kendalian Alex Ferguson.

Realitinya, pasukan di Miami memerlukan nama besar untuk melonjakkan penjualan tiket dan menarik minat pihak pemasaran namun Beckham sedar mengenai kepentingan membimbing pasukan dari dalam.

Bekas pemain tengah Real Madrid itu sebahagian daripada graduan 'Kelas 92' yang mencipta nama di Manchester United dan membantu kelab itu mencipta kejuaraan demi kejuaraan di bawah kendalian Alex Ferguson.

Beckham, bersama Gary dan Phil Neville, Nicky Butt, Paul Scholes dan Ryan Giggs menjadi anak emas United dan pemilik francais MLS ke-25 itu mahu mencipta formula sama di Miami.

"Kami mahu mencapai bintang. Miami perlukan bintang dan sebab itulah kami merancang untuk membawa masuk pemain ternama tapi impian saya adalah mewujudkan akademi yang mana kami akan membimbing kelompok pemain berbakat dan membawa masuk pemain muda seperti di United." - AFP

Berita Harian X