Selasa, 30 Januari 2018 | 11:04am
ANDER Herrera (kiri) mendakwa keberanian dan keinginan Alexis Sanchez mengagumkan rakan sepasukan dan terbukti satu aset penting buat pasukan. - Foto Reuters

Semangat Sanchez pacu United: Herrera

LONDON: Ander Herrera mendakwa semangat juang Alexis Sanchez menyemarakkan Manchester United ketika penyerang Chile itu bersiap sedia untuk aksi pertamanya di Liga Perdana Inggeris berdepan Tottenham, awal pagi Khamis ini.

Sanchez menjadi pemain dengan gaji termahal di Liga Perdana selepas berpindah dari Arsenal ke United minggu lalu.

Pemain berusia 29 tahun itu membuat penampilan sulungnya dengan membantu dua jaringan sewaktu United membelasah pasukan kerdil Yeovil Town 4-0 pada pusingan keempat Piala FA Inggeris, Jumaat lalu.

Sanchez mempamerkan skil dimilikinya untuk disempurnakan Marcus Rashford dan Herrera, namun bukan sentuhan berbisanya saja yang membuat rakan sepasukannya di United teruja.

Biarpun berdepan kritikan berikutan sikapnya pada penghujung kontrak dengan Arsenal, pemain tengah Sepanyol, Herrera berkata, keberanian dan keinginan Sanchez mengagumkan rakan sepasukan dan terbukti satu aset penting buat pasukan.


ALEXIS Sanchez membuat penampilan sulungnya dengan membantu dua jaringan sewaktu United membelasah Yeovil Town 4-0 pada pusingan keempat Piala FA Inggeris, Jumaat lalu. - Foto Reuters

"Apa yang saya suka dengannya adalah bagaimana dia berjuang ketika pasukan kehilangan bola," kata Herrera kepada MUTV.

"Dia sentiasa bersedia menjadi pertahanan pertama pasukan dan ia sesuatu yang bagus buat kami.

"Kami sedar kualiti yang dimilikinya, dia menakjubkan, namun cara dia melawan dan bertahan, dia pemain pertama yang bertahan. Saya amat menyukainya."

Pengurus United, Jose Mourinho, pasukannya kini di tangga kedua 12 mata di belakang pendahulu Manchester City, jelas bersetuju dengan Herrera dengan kualiti dimiliki Sanchez.

Sanchez kini mempunyai lokar sendiri yang diapit dua pemain penting iaitu Rashford dan Jesse Lingard, malah Mourinho dilaporkan bertanggungjawab di sebalik keputusan itu. - AFP

Berita Harian X