Rabu, 24 Januari 2018 | 12:43pm

Aura imej baharu TFC I

KUALA TERENGGANU: Penjenamaan semula pasukan Terengganu atau kini dikenali sebagai Terengganu FC I (TFC I) memberikan nafas baharu buat skuad Peteh Terengganu Peteh untuk muncul antara pencabar utama Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Kombinasi tiga jurulatih berpengalaman diketuai Irfan Bakti Abu Salim, Mohamad Nik dan Kamaruddin Annuar itu yang pernah bergabung membimbing FELDA United sememangnya ditagih pemain TFC I serta Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Kehadiran bekas penyerang Terengganu, Mohd Nafuzi Zain serta penjaga gol berpengalaman, Mohd Yazid Mohd Yasin yang turut mewarnai barisan jurulatih juga bakal memberi tonik yang berkesan buat pasukan.

JURULATIH Terengganu FC (TFCI), Irfan Bakti Abdul Salim mempunyai aura tersendiri untuk mengadun pasukan musim ini untuk mencapai sasaran juara. - Foto Ghazali Kori

MENTERI Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman bersalaman bersama pemain Terengganu FC dan Terengganu FC II pada Perlawanan Akhir Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru Piala Menteri Besar Terenggan 2018 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. - Foto Ghazali Kori

BARISAN Pemain Terengganu FC (TFCI) pada aksi final Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu 2018 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. - Foto Ghazali Kori

PEMAIN Terengganu FC, (kiri) Le Andrew Tuck (kiri) diasak pemain Terengganu FC II, Mohd Fauzi pada Perlawanan Akhir Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu 2018 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. - Foto Ghazali Kori

PEMAIN Terengganu FC I (TFCI) meraikan jaringan bersama pasukan ketia menentang Melaka United pada Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu 2018 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. - Foto Ghazali Kori

Irfan Bakti yang pengurus pasukan pastinya mempunyai aura tersendiri untuk mengadun pasukan musim ini untuk mencapai sasaran juara, seperti yang pernah dilakukan ketika membawa skuad Penyu pada tahun 2011 dengan menjuarai Piala FA, naib juara Piala Malaysia dan Liga Super.

Melihat deretan pengalaman dimiliki jurulatih berusia 67 tahun itu yang membimbing kelab Persipura Jayapura (Indonesia), Negeri Sembilan, Selangor, Melaka Telekom, Perlis, Pulau Pinang dan FELDA United, ia sudah cukup untuk membuktikan TFC I mempunyai aset berharga untuk membawa pasukan itu ke puncak kejayaan.

Selain memiliki barisan jurulatih berwibawa, pemain tempatan dan import yang berkualiti juga bakal menjadi sandaran terbaik skuad Penyu mengharungi kancah Liga M musim ini yang dilihat kian mencabar.

Berdasarkan senarai 21 pemain tempatan, lapan daripadanya pernah menyarung jersi skuad kebangsaan - Mohd Fitri Omar, Abdul Shukur Jusoh, Ismail Faruqi Ashari, Abdul Latiff Suhaimi, Azi Shahril Azmi, Mohd Ashari Samsuddin dan penjaga gol berpengalaman, Mohd Suffian Abdul Rahman serta Muhammad Syazwan Yusoff.

Pemain import yang mewarnai kem skuad Penyu itu juga tidak kurang hebatnya dengan tiga daripadanya pernah beraksi dalam saingan Liga M musim lalu.

Naib juara Liga Perdana 2017 itu memiliki penyerang prolifik kelahiran Ivory Coast, Tchetche Kipre atau 'Drogba Terengganu'  yang beraksi cemerlang bersama skuad Penyu musim lalu dengan merekod sebagai penjaring terbanyak.

TFC I juga memiliki penyerang kelahiran England, Lee Tuck yang pernah beraksi bersama Negeri Sembilan, manakala seorang lagi pemain import yang pernah beraksi dalam saingan Liga M ialah bekas penyerang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) musim lalu, Kim Hyun Woo.

Berita Harian X