Rabu, 24 Januari 2018 | 11:32am
PENYERANG JDT, Syafiq Ahmad (kiri) dikekang pemain Muangthong United FC pada saingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Nasional Supachalasai, Bangkok, Thailand, semalam. - Foto FB Muangthong United FC

TMJ bangga pencapaian JDT

JOHOR BAHRU: Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tetap bangga dengan pencapaian pasukan itu selepas layak bersaing di kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) tiga musim berturut-turut.

Walaupun hasrat skuad bimbingan Ulisses Morais itu untuk melangkah ke pusingan ketiga seperti yang pernah dilakar musim lalu tidak kesampaian, ia tetap satu catatan yang membanggakan.

Tunku Ismail menerusi kenyataan di laman rasmi Johor Southern Tigers berkata, perjalanan JDT masih lagi jauh untuk mencapai sasaran namun tidak perlu berhenti sehingga apa juga matlamat yang disasar mampu digapai.


PEMAIN tengah JDT, Insa (kiri) mengasak pemain import Muangthong United FC pada saingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Nasional Supachalasai, Bangkok, semalam. - Foto FB Muangthong United FC

"Saya tetap bangga selepas JDT bermain di peringkat tertinggi ini dan menjadi satu-satunya kelab dalam negara yang sudah berada di tahap itu.

"Saya berbual dengan dengan jurulatih (Morais) selepas perlawanan menerusi telefon dan menyatakan bukan saya suka dengan kekalahan ini tetapi keputusan itu memberi `wake-up call' kepada setiap pemain.

"Kita tidak boleh selesa dan terlalu yakin, sebaliknya perlu lebih bekerja keras. Ini adalah proses jangka panjang dan saya optimis tahun ini kita akan lakukan yang terbaik dan pasukan ini akan belajar daripada kesilapan.

"Bagaimanapun, kita harus bangga kerana kita sudah berada di tahap yang tiada pasukan lain lakukan," kata Tunku Ismail.

Kemaraan skuad Harimau Selatan untuk memburu slot ke pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) disekat Muangthong United FC selepas anak buah Totchtawan Sripan itu menang 5-2 pada aksi di Stadium Nasional Supachalasai, Bangkok, Thailand, semalam.

Tunku Ismail menegaskan betapa JDT adalah tanggungjawabnya dan seluruh barisan kejurulatihan termasuk Pengarah Sukan, Martin Prest tahu apa yang bakal dilakukan selepas ini.

"Perjalanan kita masih jauh dan kita tidak boleh berhenti hingga mencapai matlamat," kata Tunku Ismail.

54 dibaca
Berita Harian X