Selasa, 23 Januari 2018 | 4:35pm
PEMAIN Pahang FA, Chan Vathanaka (dua dari kanan) mengasak pemain Terengganu FC, Le Andrew Tuck (kiri) pada Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu 2018 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. - Foto Rozainah Zakaria

Vathanaka semakin serasi

KUANTAN: Pemain import Pahang, Chan Vathanaka semakin serasi dengan corak permainan skuad itu menjelang aksi pembukaan saingan Liga Malaysia, 4 Februari depan.

Pemain berasal dari Kemboja itu berkata, segalanya dilihat positif selepas hampir sebulan bersama rakan sepasukan termasuk beraksi dalam dua perlawanan persahabatan di Thailand dan Terengganu, baru-baru ini.

Katanya, komitmen semua pemain diyakini mampu memperkasakan skuad Tok Gajah sekali gus memburu kejayaan bermakna musim ini. "Sebenarnya, dua kejohanan di Bangkok dan Terengganu banyak membantu meningkatkan lagi prestasi termasuk dari segi persefahaman dengan rakan.

"Kami kini boleh bermain dalam satu pasukan dan prestasi itu akan dipertingkatkan lagi sebaik saingan liga bermula nanti," katanya.

Mengulas keputusan beralih kerjaya sebagai pemain profesional ke negara ini, dia gembira dan mahu memastikan kejayaan buat pasukan.

"Saya yakin dengan sokongan daripada semua termasuk jurulatih (Dollah Salleh) misi meraih kejayaan bersama Pahang akan terlaksana," katanya.

Musim ini, Vathanaka menyarung jersi kelab Boeung Ket Angkor dari 2012 hingga 2017 sebelum dipinjamkan ke kelab Jepun, Fujieda MYFC.

Dengan pengalaman selama lima tahun bersama kelab Kemboja, sudah pasti pemain berumur 23 tahun itu dapat membantu memantapkan jentera tengah Tok Gajah.

20 dibaca
Berita Harian X