Sabtu, 20 Januari 2018 | 12:00pm
KAPTEN Spurs, Hugo Lloris tidak akan beraksi menentang Southampton selepas dipalit masalah kesihatan. - Foto AGENSI

Spurs layan Southampton tanpa kapten

LONDON: Tottenham Hotspur berkemungkinan tidak menyenarai Hugo Lloris bagi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Southampton, esok selepas penjaga gol itu dipalit masalah kesihatan, kata pengurus Mauricio Pochettino, semalam.

Penjaga gol yang juga kapten pasukan Spurs itu disenarai dalam kesebelasan utama bagi 23 aksi EPL musim ini dan hanya tersisih sekali ketika kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace di Wembley pada November lalu susulan kecederaan otot.

"Kami perlu menunggu dan menilainya (Lloris). Saya fikir ia masalah selsema atau virus. Semua orang dengan cuaca seperti ini akan sedikit bergelut," kata Pochettino.

Penjaga gol ketiga, Paulo Gazzaniga tampil dengan prestasi baik pada aksi sulungnya menentang Palace berpeluang untuk menggantikannya tetapi pilihan kedua, Michel Vorm juga cergas untuk diturunkan di Stadium St Mary.

Selain itu, pertahanan Toby Alderweireld juga hampir untuk kembali bersama pasukan selepas hampir tiga bulan tersisih susulan kecederaan hamstring.

Pemain kebangsaan Belgium itu mengalami kecederaan ketika kemenangan bersejarah 3-1 Spurs ke atas juara Eropah, Real Madrid dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara pada November lalu.

"Saya amat gembira," kata Pochettino mengulas usaha pemain berusia 28 tahun itu.

"Kami akan mengharungi tempoh yang amat sibuk dan kami memerlukan keseluruhan skuad untuk bermain. Jika semuanya baik, dia akan memanaskan badan (pada Sabtu) bersama pasukan dan akan disenaraikan.

"Dia akan bersedia secepat yang mungkin."

Tottenham ketika ini mengumpul 44 mata daripada 23 perlawanan selepas meraih 13 kemenangan, lima seri dan lima kekalahan serta menghuni tangga kelima liga dengan ketinggalan tiga mata di belakang Chelsea dan Liverpool.

Southampton pula mengharungi 10 aksi liga tanpa kemenangan dan meninggalkan mereka satu mata di atas zon penyingkiran. - REUTERS

Berita Harian X