Jumaat, 19 Januari 2018 | 10:08am
JOSE Mourinho sudah bersetuju untuk terus di Old Trafford manakala, Alexis Sanchez sudah semakin hampir ke United sekali gus memberikan semangat baru buat pasukan itu yang mahu terus menekan City.

Semangat United kian melonjak

BURNLEY, United Kingdom: Manchester United berada pada tahap terbaik menjelang aksi di Burnley esok terutama selepas Alexis Sanchez sudah semakin hampir ke Old Trafford sambil pengurus, Jose Mourinho pula dikatakan bersetuju untuk menandatangani kontrak lanjutan bersama kelab.

Tumpuan perlawanan di Turf Moor didominasi penyerang Chile, Sanchez dengan Arsenal setuju menjual pemain yang bakal menamatkan kontraknya hujung musim ini.

Peluang United untuk memenangi liga musim ini masih ada dan mereka berjaya merapatkan jurang kepada 12 mata di belakang pendahulu, Manchester City selepas mengalahkan Stoke 3-0, Isnin lalu.

Anthony Martial menjaringkan gol dalam perlawanan berkenaan - gol keduanya tahun ini - dan dia serta Romelu Lukaku dilihat sudah mula mendapat sentuhan pemusnah.

Lukaku menjaringkan gol dalam dua perlawanan terakhirnya, bermula dengan ledakan ketika menentang Derby di pusingan ketiga Piala FA, 5 Januari lalu.

Kebangkitan pemainnya mungkin mendorong Mourinho untuk melanjutkan kontraknya yang dijangka tamat pada hingga Jun 2019 nanti.


PENYERANG United, Romelu Lukaku dilihat sudah mula mendapat sentuhan pemusnah selepas mengalahkan Stoke, Isnin lalu. - Foto REUTERS

Perbincangan mengenai kontrak baru berjalan lancar sepanjang minggu ini dan difahamkan, Mourinho secara dasarnya sudah bersetuju untuk terus di Old Trafford sekali gus memberikan semangat baru buat United yang mahu terus menekan City.

Pertahanan United, Luke Shaw berkata: "Kami mahu mengharungi babak kedua musim ini dengan baik. Kami akan mengharungi banyak perlawanan dan semua pemain sudah sedia.

"Banyak yang perlu kami persembahkan apatah lagi Piala Dunia juga semakin hampir. Semua pemain mahu memikat jurulatih skuad kebangsaan masing-masing.

"Secara peribadi, saya mahu bermain sebanyak mungkin untuk membantu United dan pada masa sama, saya juga mahu terpilih ke Piala Dunia."

Mourinho akan sekali lagi kehilangan penyerang, Zlatan Ibrahimovic di Turf Moor selepas pemain itu mengalami kecederaan lutut sambil pemain pertahanan, Eric Bailly berdepan masalah buku lali. - AFP

Berita Harian X