Selasa, 16 Januari 2018 | 7:22am
PEMAIN Manchester United, Romelu Lukaku (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan selepas meledak gol ketiga pasukan pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Old Trafford, sebentar tadi. - Foto AFP

Man United ketepikan cabaran Stoke

MANCHESTER, UNITED KINGDOM: Manchester United melupakan seketika usaha mendapatkan penyerang Arsenal, Alexis Sanchez dengan mengetepikan Stoke 3-0 di Old Trafford, awal pagi tadi.

Antonio Valencia dan Anthony Martial meledak jaringan di babak pertama manakala Romelu Lukaku menambah kelebihan selepas rehat ketika Jose Mourinho akhirnya berjaya menundukkan Stoke selepas empat kali mencuba.

Tetapi persembahan anak buahnya selain terlepas beberapa peluang menjaringkan gol menguatkan lagi andaian bahawa Mourinho sangat memerlukan Sanchez walaupun sudah ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu, Manchester City.

United percaya bahawa mereka sudah memenangi saingan untuk mendapatkan pemain antarabangsa Chile itu yang bakal menamatkan kontraknya bersama Arsenal hujung musim ini apatah lagi selepas City memaklumkan bahawa mereka tidak lagi berminat dengan pemain itu yang menuntut gaji di luar jangkaan.

Pengurus Stoke, Paul Lambert yang dilantik beberapa jam sebelum perlawanan, hanya menyaksikan pertembungan dari tempat duduk penonton dan beliau pastinya tidak terkejut melihat Valencia memberikan pendahuluan buat tuan rumah.

Pemain pertahanan kanan itu menerima hantaran Paul Pogba sebelum memperdayakan pertahanan pelawat, Joshua Tymon untuk meledak gol pertama.

Tymon juga wajar dipersalahkan untuk gol kedua United yang hadir pada minit ke-38 apabila melepaskan bola kepada Lukaku sebelum bekas pemain Everton itu membuat hantaran kepada Pogba.

Pemain tengah Perancis itu menolak bola kepada Martial yang tidak dikawal dan rakan senegaranya itu melepaskan rembatan ke penjuru gawang pelawat untuk gol kedua.

Lukaku menambah luka pelawat pada minit ke-72 menerusi rembatan dari jarak 15 ela. - AFP

Berita Harian X