Isnin, 15 Januari 2018 | 6:24am
PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola menegaskan perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris belum berakhir walaupun tewas di Anfield, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

Perebutan kejuaraan belum berakhir - Guardiola

LIVERPOOL: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menegaskan perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris belum berakhir selepas pasukannya tumbang 3-4 kepada Liverpool di Anfield, awal pagi tadi.

Jaringan awal Alex Oxlade-Chamberlain disamakan oleh Leroy Sane sebaik sebelum rehat namun tiga gol dalam tempoh sembilan minit daripada Roberto Firmino, Sadio Mane dan Mohamed Salah mengejutkan City.


GOL ketiga Liverpool hasil jaringan Sadio Mane (no 19) gagal diselamatkan penjaga gol City. - Foto EPA

Pasukan Guardiola mengancam melakukan kebangkitan menakjubkan dengan gol lewat daripada Bernardo Silva dan Ilkay Gundogan namun Liverpool berjaya mempertahankan kedudukan itu untuk mencatat kemenangan manis.

"Tahniah kepada Liverpool kerana kemenangan ini," kata Guardiola.

"Perlawanan ini kami kuasai ketika 1-1 tapi penyudah kami tidak bagus dan kemudian tiba-tiba kami ketinggalan 1-4.

"Anda perlu stabil apabila dibolosi satu gol tapi kami tidak begitu mantap. Anda perlu berdepan situasi sebegini sepanjang musim.


PEMAIN tengah Liverpool, Mohamed Salah (tengah) dihalang pertahanan City, Nicolas Otamendi pada aksi liga, awal pagi tadi Anfield. - Foto AFP

"Realitinya kami kalah perlawanan ini, kami ada seminggu untuk pulih dan bersiap sedia bagi perlawanan menentang Newcastle. Pujian terhadap lawan, kami sedar betapa sukarnya menentang pasukan Juergen Klopp, terlalu agresif, di Anfield pula. Kami bertindak baik kecuali beberapa minit.

"Selepas gol kedua mereka menjaringkan dua gol lagi dalam beberapa minit dan ia sukar untuk bangkit daripada kedudukan itu. Dalam beberapa sidang akhbar sejak beberapa bulan lalu anda katakan Liga Perdana sudah selesai dan saya sering berkata 'tidak, ia masih perlu diselesaikan'.

"Kami akan mempertahankan kedudukan kami dari satu perlawanan ke satu perlawanan."

Pengurus Liverpool, Klopp gembira dengan persembahan pasukannya dan menyatakan ia satu petanda baik buat Liga Perdana.


PENJAGA gol Liverpool, Loris Karius berjaya menangkap bola selepas diasak penyerang City, Sergio Aguero. - Foto AFP

"Ini satu perlawanan bersejarah yang akan anda perkatakan dalam tempoh 20 tahun kerana kelihatannya City tidak akan kalah tahun ini," katanya.

"Berjuta-juta menonton perlawanan ini di seluruh dunia dan itulah sebabnya anda turun sepenuh hati meluahkannya di padang dan bermain sebegini, kedua-dua pasukan.

"Kami bermain, saya tidak tahu tahap mana, mencetus masalah besar terhadap mereka. Saya tidak bimbang akhirnya, bukannya saya tidak memikirkan kami akan melepaskan gol keempat, saya sudah kenal pemain saya terlalu lama, ia terlalu tegang." - AFP

Berita Harian X