Sabtu, 13 Januari 2018 | 12:17am
MOHAMED Salah (kiri) dari Liverpool dan penyerang Manchester City, Sergio Aguero menjadi tumpuan pada aksi Liga Perdana Inggeris, tengah malam esok. - Foto AGENSI

Mampukah Liverpool atasi City tanpa Countinho?

KOLUM APA KATA

Liverpool yang dikejutkan dengan perpindahan Philippe Coutinho ke Barcelona, minggu lalu akan menyambut kunjungan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City di Anfield pada tengah malam esok waktu Malaysia.

Pertemuan yang dinantikan kedua-dua penyokong kelab itu sudah pasti menjanjikan perlawanan hebat, berikutan barisan pimpinan Jurgen Klopp dan Pep Guardiola itu bakal tampil dengan misi besar.

Buat skuad The Reds, ia bukan saja mahu menghidupkan terus peluang merebut empat terbaik di penghujung musim selepas harapan merangkul kejuaraan liga pudar, malah ingin menebus aib di laman lawannya itu pada September lalu.

Mungkin ramai yang masih ingat pada perlawanan di Etihad itu menyaksikan City membelasah Liverpool, 5-0. Kemenangan itu bukan saja menjadi titik mula City menguasai liga, tapi juga menimbulkan keraguan wibawa The Reds musim ini.

Bagi City pula, tiga mata dari Anfiled sama penting seperti perlawanan lain.

Andai menang, mereka pasti meninggalkan Liverpool dengan kelebihan 21 mata. Jika seri atau kalah, ia hanya mengurangkan kelebihan dengan pesaing terdekat, Manchester United yang ketika ini ketinggalan 15 mata dan bakal bertemu Stoke City pada awal pagi Selasa ini waktu Malaysia.

Countiho yang juga perancang Brazil menyempurnakan perpindahan bernilai 142 juta pound (RM766.8 juta) ke Barcelona Isnin lalu, sekali gus menjadikan gandingan empat peledak berbisa Klopp kini tinggal hanya tiga.

Liverpool yang berada di tangga keempat liga, kini muncul sebagai pasukan kedua terbanyak menjaringkan gol iaitu 50, manakala The Citizens yang gah di persada dengan 62 mata, mencatat jaringan tertinggi - 64 gol.

Sandaran Klopp untuk merobek gawang City adalah pada pemain sayap Mesir, Mohamed Salah yang dijangka kembali selepas pulih daripada kecederaan. Dia bakal bergandingan dengan Sadio Mane dan Roberto Firmino di barisan depan.

Ketiga-tiga pemain ini memang akan terasa kehilangan Countiho, tapi penulis percaya kepantasan dan kelicikan mereka sudah cukup memerangkap benteng Guardiola.

Satu lagi yang menarik mengenai perlawanan ini adalah peluang untuk kita menyaksikan reputasi pertahanan terbaharu Liverpool, Virgil van Dijk. Benteng termahal dari Southampton itu akan membuat penampilan pertama di Anfield.

Mampukah Van Dijk yang pantas mencipta impak bersama Liverpool apabila menjaringkan gol kemenangan dramatik ke atas Everton pada saingan Piala FA, Rabu lalu menghalang Sergio Aguero dan Raheem Sterling membolosi gawang pasukannya? Elemen seperti inilah yang dinantikan penyokong kedua-dua pasukan.

Dalam pada itu, United yang kembali di kedudukan kedua selepas mengatasi Everton dan disusuli keputusan Chelsea terikat 2-2 dengan Arsenal di Emirates minggu lalu, seharusnya tiada masalah mengutip mata penuh berdepan Stoke yang menyingkirkan pengendalinya, Mark Hughes minggu lalu.

The Blues pula yang menyambut kunjungan Leicester City di Stamford Bridge malam ini, harus bersungguh-sungguh memikirkan cara terbaik untuk kembali catat kemenangan selepas dua kali berturut-turut terikat dengan The Gunners sebelumnya.

Sementara itu, Tottenham Hotspur perlu berhati-hati dengan helah Everton apabila menyambut mereka, awal pagi esok. Selamat menonton.

________________________________________

RAMALAN MINGGU KE-23

Crystal Palace 1 Burnley 1

Huddersfield 2 West Ham 1

Newcastle 2 Swansea City 2

West Brom 2 Brighton 3

Watford 1 Southampton 2

Chelsea 3 Leicester City 1

Tottenham 2 Everton 0

Bournemouth 1 Arsenal 3

Liverpool 1 Man City 2

Man United 3 Stoke City 0

* Penulis - Amirullah Andi Nur adalah Penolong Editor Sukan Kumpulan NSTP

21 dibaca
Berita Harian X