Jumaat, 12 Januari 2018 | 9:50pm
PRESIDEN JDT FC, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim (empat dari kiri) bersama Presiden PBNJ, Datuk Ismail Karim (tiga dari kiri) dan Exco Belia, Sukan dan Warisan Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan (tiga dari kanan) menunjukkan jersi baharu pasukan JDT ketika majlis pelancaran jersi baharu pasukan JDT di Dataran Bandaraya Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

JDT lancar jersi baharu

JOHOR BAHRU: Walaupun hujan renyai, ia tidak menghalang lebih 1,000 penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) hadir menyaksikan pelancaran jersi baharu pasukan itu bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) yang diadakan di Dataran Bandaraya, sebentar tadi.

Presiden JDT, Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim berkenan melancarkan jersi yang bakal digunakan oleh JDT pada saingan Liga Super, Johor Darul Ta'zim II (JDT II) yang beraksi di Liga Perdana, Johor Darul Ta'zim III (JDT III) untuk saingan Piala Presiden dan Johor Darul Ta'zim IV yang beraksi dalam saingan Piala Belia.

Pengurus Pemasaran Sukan Nike Malaysia dan Thailand, Ernest Rodridgues, berkata jersi baharu keluaran Nike pada musim ini agak unik.

Ia dibahagikan beberapa segmen iaitu warna biru untuk aksi di gelanggang sendiri, warna merah untuk perlawanan di tempat lawan, manakala warna putih jersi alternatif.

"Kami amat berbesar hati menaja sebuah pasukan yang memiliki falsafah yang cukup jelas dalam memacu kejayaan yang lebih besar.

"Nike gembira dapat menjadi rakan kongsi kepada sebuah kelab yang memiliki rekod terbaik dalam Malaysia", kata Rodridgues.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani; Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim; dan Setiausaha Kehormat JDT, Kapten Fahmy Yahya.

Jersi baharu itu turut dijual pada harga RM215 sehelai dan jersi alternatif pada harga RM179.

Skuad kendalian Ulisses Morais akan menggunakan jersi baharu itu pada aksi pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang kelab Liga Thai 1 (Thai League 1), Muangthong United FC pada 23 Januari ini.

Ketika ini, skuad Harimau Selatan sedang menjalani latihan dan aksi persahabatan pramusim di Bangkok, Thailand.

Berita Harian X