Selasa, 9 Januari 2018 | 9:15pm
PENGERUSI Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abd Karim Munisar (kanan) bersama Ketua Delegasi Singapura, Teo Hock Seng menunjukan Piala Sultan Selangor bagi edisi ke-17 pada sidang media di Stadium Jalan Besar, Singapura. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Peluang Pilihan Selangor akhiri kemarau

SINGAPURA: Skuad Pilihan Selangor berpeluang merampas kembali Piala Sultan Selangor dari Singapura apabila edisi ke-17 kejohanan berprestij itu sah akan diadakan di Stadium Shah Alam, 25 Ogos depan.

Berdasarkan rekod, kali terakhir skuad Pilihan Selangor menjulang trofi berprestij itu pada 2014 manakala Pilihan Singapura membuktikan kehebatan dengan mempertahankan trofi itu tahun lalu sekali gus menjulangnya buat kali ketujuh.

Pengerusi Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abd Karim Munisar, berkata selain pertandingan Piala Pilihan dan Veteran, Piala Cabaran Sekolah-Sekolah yang diperkenal julung kalinya pada edisi lalu akan diteruskan tahun ini.

Katanya, tarikh 25 Ogos dipilih atas perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Kejohanan tahunan ini adalah kesinambungan perlawanan persahabatan antara Selangor dan Singapura yang diperkenalkan sejak tahun 2001 bagi menggamit nostalgia dua musuh tradisi yang saling bersaing dalam Liga Malaysia sebelum ini.

"Dengan perkenan Tuanku Sultan Selangor, Piala Cabaran Sekolah-Sekolah yang pertama kali diadakan di Singapura tahun lalu jelas mencetuskan satu lagi perkembangan kejohanan ini dalam erti kata lain memupuk semangat kesukanan bola sepak bermula dari peringkat sekolah," katanya.


PENGERUSI Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abd Karim Munisar (kanan) bersama Ketua Delegasi Singapura, Teo Hock Seng menunjukan Piala Sultan Selangor bagi edisi ke-17 dan tiga trofi dipertandingkan pada 25 Ogos depan di Stadium Shah Alam. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat bersama delegasi Singapura di Pejabat Persatuan Bola Sepak Singapura di Stadium Jalan Besar di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Delegasi Singapura, Teo Hock Seng.

Abd Karim berkata, perlawanan akan bermula dengan aksi Veteran pada jam 8 malam, diikuti perlawanan utama pada jam 9 malam dan jam 5 petang pula membabitkan aksi Piala Cabaran Sekolah-Sekolah.

"Kita akan wujudkan suasana perlawanan ini seperti karnival dengan pelbagai acara dianjurkan istimewa untuk peminat Piala Sultan Selangor yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan bangsa yang saban tahun sentiasa membanjiri stadium melebihi 70,000 orang," katanya.

Dalam edisi ke-16 yang berlangsung 6 Mei lalu, skuad Veteran Selangor dan Veteran Singapura dinobatkan sebagai juara bersama selepas terikat tanpa jaringan dalam aksi di Stadium Nasional, Singapura.

Bagaimanapun, Pilihan Singapura berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Selangor selepas menewaskan Pilihan Selangor 3-2, manakala Sekolah Sukan Singapura membawa pulang Piala Cabaran Sekolah-Sekolah selepas menewaskan Gabungan Sekolah Selangor 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti.

Info Piala Sultan Selangor

- Pilihan Selangor memenangi kejuaraan 7 kali pada tahun 2001, 2003, 2005, 2008, 2012, 2013 dan 2014.

- Pilihan Singapura memenangi kejuaraan 7 kali pada tahun 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2016 dan 2017.

- Pada 2004 kedua-dua pasukan digelar juara bersama, manakala tahun 2015 perlawanan terpaksa dibatalkan kerana jerebu.

Berita Harian X