Ahad, 7 Januari 2018 | 11:39am
PENGURUS City, Pep Guardiola (kanan) memohon maaf atas kelakuannya kepada pengurus Burnley, Sean Dyche pada saingan Piala FA di Etihad, awal pagi tadi. - Foto AFP
PEMAIN City, Bernardo Silva muncul penjaring keempat pasukan ketika bertemu Burnley pada saingan pusingan ketiga Piala FA. - Foto REUTERS

Maafkan saya: Guardiola

MANCHESTER, UNITED KINGDOM: Pep Guardiola memohon maaf kepada pengurus Burnley, Sean Dyche atas kelakuannya selepas Manchester City menyamakan kedudukan dalam perlawanan pusingan ketiga Piala FA yang menyaksikan mereka menang 4-1.

Pengurus City Guardiola meluahkan kemarahan kepada Dyche dengan membuat isyarat 'menyalak' kepada rakan sejawatan dan pembantu pengadil, ketika pertelagahan di antara kedua-dua mereka di Eastland awal pagi tadi susulan gol penyamaan Sergio Aguero pada minit ke-56.

"Saya minta maaf. Saya tidak mahu bertindak di luar kawalan," kata Guardiola.

SERGIO Aguero menewaskan penjaga gol Burnley, Nick Pope untuk jaringkan gol kedua City. - Foto REUTERS

Gol penyamaan Aguero hadir menerusi sepakan percuma yang segera diambil Ilkay Gundogan, mencetuskan kemarahan pemain Burnley yang menyangka pengadil Graham Scott membenarkan set piece itu diambil sebelum mereka benar-benar bersedia.

Guardiola kemudiannya menjelaskan tindakannya itu semata-mata satu permintaan supaya Burnley membiarkan pegawai pertandingan menjalankan tugas mereka, tetapi keadaan menjadi semakin kecoh dan berakhir dengan pembantu pengadil, Andy Haines memerintahkan jurulatih kelahiran Sepanyol itu kembali ke kawasan teknikal.

"Saya katakan, 'Tolong tinggalkan pengadil'. Saya amat menghormati apa yang beliau (Dyche) lakukan dan cara beliau bermain jelas berbeza dengan cara kami.

"Namun mereka melakukan tugas dengan sempurna dan itulah sebabnya bola sepak berada pada tahap terbaik. Saya fikir semua pengurus perlu mengawal tindakan mereka. Jika mereka tersinggung saya minta maaf."

PEMAIN tengah, Leroy Sane (tengah) turut menjaringkan gol ketika bertemu Burnley, awal pagi tadi. - Foto AFP

Kekecohan itu bagaimanapun tidak memberi kesan buat Guardiola dan City yang bangkit selepas ketinggalan menerusi jaringan Ashley Barnes pada separuh masa pertama.

Jaringan berganda Aguero, selain sumbangan Leroy Sane dan Bernardo Silva membawa City ke pusingan keempat piala berkenaan, justeru penjaring terbanyak sepanjang zaman di City itu mendapat pujian melambung Guardiola.

"Dia adalah pemain yang sentiasa ingin bermain dan saya boleh memahami kadang-kala dia sedih kerana tidak dapat bermain. Saya hanya mahu dia gembira," kata Guardiola. - AFP

Berita Harian X