Ahad, 7 Januari 2018 | 7:41am
PENYERANG Atletico, Diego Costa (kiri) kelihatan bingung dengan tindakan pengadil melayangkan kad merah kepadanya pada aksi bertemu Getafe, awal pagi tadi. - Foto AFP

Costa buat hal lagi

MADRID: Diego Costa dibuang padang selepas menjaringkan gol kemenangan buat Atletico Madrid yang menewaskan Getafe 2-0 di laman sendiri, awal pagi tadi manakala Sevilla terlepas peluang memintas Real Madrid sebaik tewas 3-5 kepada Real Betis.

Kemenangan Atletico membolehkan mereka menghampiri enam mata berbanding pendahulu Barcelona yang akan menanti kunjungan Levante dan dua mata mengatasi Valencia di tangga ketiga, yang memungut 37 mata selepas bangkit untuk menewaskan Girona 2-1 menerusi jaringan Janos Ramalho ke gawang sendiri pada separuh masa pertama dan penalti Daniel Parejo tiga minit selepas rehat.


TINDAKAN Diego Costa meraikan jaringan di tempat duduk penyokong menyebabkan pemain itu mengutip kad kuning kedua seterusnya dibuang padang. - Foto AFP

Costa, yang beraksi dalam perlawanan La Liga pertama sejak kembali menyertai Atletico dari Chelsea selepas penggantungan perpindahan kelab Sepanyol yang berakhir minggu lalu, dilayangkan kad kuning kerana melakukan kekasaran pada minit ke-62 ketika tuan rumah di depan 1-0 menerusi jaringan Angel Correa.

Enam minit kemudian dia berjaya menyambut hantaran rendah untuk menggandakan jaringan dan mencetuskan sorakan hebat penyokong.

Dia kemudiannya melompat ke bangku penonton untuk memeluk peminat dan serta-merta dilayangkan kad kuning kedua.

Penyerang panas baran itu kelihatan bingung dengan tindakan pengadil tetapi jurulatihnya Diego Simeone berkata dia sewajarnya dibuang padang.


SITUASI tegang melibatkan Diego Costa (dua dari kiri) dengan pemain Getafe pada saingan La Liga, awal pagi tadi. - Foto EPA

"Jurulatih tidak boleh menerima aspek emosional (tindakan Costa), peraturan tetap peraturan," kata Simeone selepas perlawanan itu.

"Jika anda meraikannya dengan peminat, anda akan dilayangkan kad kuning. Anda perlu menerima hakikat itu."

Skuad Simeone dilihat semakin sukar ditundukkan, dengan hanya bolos lapan gol dan satu kekalahan dalam 18 perlawanan, namun mereka hanya menjaringkan 27 gol dengan Antoine Griezmann semakin buntu di depan gawang, hanya mengumpul lima gol liga setakat ini.

"Kehadiran Costa memberikan kami kepantasan dan hala tuju. Malah dia juga menakutkan lawan. Anda boleh melihat dan merasakannya," kata Simeone. - AFP

29 dibaca
Berita Harian X