Sabtu, 6 Januari 2018 | 11:33pm
REAKSI penyerang Atletico Madrid, Diego Costa selepas menjaringkan gol ketika menentang Getafe pada saingan La Liga di Stadium Wanda Metropolitano, malam tadi. - Foto AFP

Costa dibuang padang selepas meledak gol

MADRID: Diego Costa meledak gol sulungnya di laman sendiri bersama Atletico Madrid ketika meraih kemenangan 2-0 ke atas Getafe dalam aksi La Liga, sebentar tadi tadi namun terus dibuang padang susulan reaksi berlebihan ketika meraikan jaringan berkenaan.

Penyerang Sepanyol itu menjaringkan gol kedua tuan rumah pada minit ke-67, selepas Angel Correa meledak gol pertama Atletico pada minit ke-18.


PENYERANG Atletico Madrid, Diego Costa dilayang kad merah selepas meraikan gol jaringannya dengan penyokong ketika menentang Getafe pada saingan La Liga di Stadium Wanda Metropolitano, malam tadi. - Foto AFP

Dia berlari ke arah peminat di belakang gawang di Stadium Wanda Metropolitano yang mencipta suasana pesta apabila peminat berpusu-pusu untuk meraikan ketibaan semula wira kelab berkenaan pada musim 2010 hingga 2014 itu.

Keluar padang untuk meraikan jaringan bersama peminat adalah kesalahan kad kuning secara automatik, sedangkan ketika itu Costa sudah pun dilayangkan kad kuning kerana menyiku Djene Dakonam, tujuh minit lebih awal.

Pengadil, Jose Luis Munuera Montero tidak mempunyai pilihan selain mengarahkannya keluar padang.

Costa kembali ke Atletico dari Chelsea dengan nilai AS$77.34 juta (RM309.17 juta) pada September lalu, tetapi tidak dibenarkan bermain sehingga Januari susulan penggantungan kelab Sepanyol itu daripada mendaftarkan pemain baharu.

Susulan insiden dibuang padang itu, dia akan digantung daripada aksi La Liga, ketika Atletico bakal bertemu Eibar pada 13 Januari.

Atletico kini ketika berada di tangga kedua La Liga, selepas mengumpul 39 mata, enam mata di belakang pendahulu, Barcelona yang akan menanti kunjungan Levante, esok.

Kelab di tangga ketiga, Valencia akan bertemu Girona selepas ini dengan Sevilla menanti Real Betis bagi aksi tetangga manakala penyandang juara, Real Madrid membuat kunjungan ke Celta Vigo, esok. - REUTERS

Berita Harian X