Khamis, 4 Januari 2018 | 5:57pm
PENGURUS Tottenham, Mauricio Pochettino enggan merungut dengan kepadatan jadual Liga Perdana Inggeris (EPL). - Foto REUTERS

Pochettino tak pening jadual padat EPL

LONDON: Pengendali Tottenham Hotspur Mauricio Pochettino enggan merungut dengan kepadatan jadual Liga Perdana Inggeris (EPL) dan berkata situasi itu menguji kemampuan skuad kendaliannya bagi mengharungi baki separuh lagi kempen musim ini.

Bos Manchester City Pep Guardiola pada minggu ini berkata bermain dua kali dalam tempoh seminggu memberi risiko kepada kecederaan terhadap pemainnya.

Spurs akan menanti kunjung West Ham United dalam aksi liga awal pagi ini, 48 jam selepas mereka menewaskan Swansea City 2-0 dalam keadaan hujan lebat di Stadium Liberty.

Bercakap menjelang pertembungan tetangga London di Wembley, Pochettino berkata: "Ia pasti sukar buat pemain-pemain tetapi saya tidak mahu merungut.

"Kami akan berehat selama 48 jam sebelum perlawanan. Kami mungkin akan membuat penggiliran dan melakukan beberapa perubahan dan membawa masuk beberapa pemain yang masih segar ke dalam pasukan.

"Ini adalah peluang untuk bermain dalam skuad dan ia penting."

Tottenham pada awalnya dijadual bertemu West Ham pada malam tahun baharu tetapi ia ditangguhkan susulan kebimbangan mengenai keselamatan.

"Saya mengetahui dengan amat baik mengenai perniagaan ini dan adalah mustahil untuk bermain sebelum ini," kata Pochettino.

"Sesetengah pasukan bermain selepas hari Krismas, tetapi saya fikir kami akan tiba dengan keadaan yang sama seperti West Ham."

Tottenham tersingkir dalam kempen Piala Liga oleh West Ham pada Oktober lalu dengan skuad Pochettino tewas 3-2 selepas ketinggalan 2-0.

"Perlawanan ini bukannya (mengenai) dendam," kata Pochettino. "Sekarang adalah Liga Perdana dan kami memerlukan kemenangan kerana kami bersaing untuk berada di kedudukan empat teratas atau lebih tinggi."

Peledak sensasi Harry Kane dijangka kembali disenarai dalam kesebelasan utama Spurs selepas diletakkan dalam bangku simpanan di Swansea kerana tidak sihat tetapi pertahanan kiri, Danny Rose akan diketepikan kerana kecederaan lutut.

Spurs ketika ini menghuni tangga kelima liga selepas mengumpul 40 mata dan mempunyai kelebihan satu perlawanan berbanding Liverpool yang berada di tangga keempat dengan kelebihan empat mata. - REUTERS

Berita Harian X