Rabu, 3 Januari 2018 | 4:12pm
Pemain baharu Pulau Pinang, Mohd Norhafiz Zamani Misbah tetapkan sasaran untuk membantu pasukan baharunya, Pulau Pinang, kembali ke saingan Liga Super musim 2019. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

Norhafiz tekad pacu Harimau Kumbang

SEREMBAN: Bekas pemain kebangsaan, Norhafiz Zamani Misbah menetapkan sasaran untuk membantu pasukan baharunya, Pulau Pinang, kembali ke saingan Liga Super musim 2019.

Tonggak pertahanan berpengalaman berusia 36 tahun itu yakin misi berkenaan akan dapat direalisasikan dengan bantuan rakan-rakan dalam pasukan itu selain keupayaan pengendali berwibawa, Zainal Abidin Hassan.

Katanya, melalui pembentukan pasukan yang mantap musim ini dengan dibarisi ramai pemain berwibawa dan berpengalaman, Pulau Pinang mampu memberikan cabaran bermakna dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini berbanding musim lalu.

"Sejak mula menyertai pasukan Pulau Pinang lebih seminggu lalu, saya dapat rasakan betapa pasukan ini ada kekuatan tersendiri dalam mengharungi saingan Liga-M musim ini.

"Malah, saya yakin pasukan yang mendapat sentuhan jurulatih berwibawa ini mampu bangkit kembali dan melonjak ke tahap membanggakan sekali gus meraih pencapaian lebih baik terutama dalam liga.

"Apa pun, secara peribadi saya mahu membantu pasukan ini kembali ke Liga Super musim 2019 dan yakin ia boleh direalisasikan dengan barisan pemain yang membentuk kekuatan baharu pasukan ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norhafiz Zamani adalah antara watak penting dalam skuad kebangsaan sebelum ini bersama beberapa pemain berpengalaman lain seperti Mohd Shukor Adan dan Rezal Zambery Yahya.

Biarpun usianya semakin lanjut, dia masih mampu beraksi di padang sepertimana dipamerkan ketika beraksi bersama skuad Kelantan musim lalu.

Penerima anugerah Pemain Pertahanan Terbaik 2011 itu berkata, fokusnya ketika ini adalah untuk kekalkan tahap kecergasan dan prestasi dalam persembahannya selain mengikuti dengan baik taktikal dan strategik yang diketengahkan Zainal.

Menurut bekas pemain Negeri Sembilan itu, biarpun baharu saja menyertai latihan bersama pengendali itu namun sudah banyak ilmu yang diperolehnya dalam memastikan kekuatan Pulau Pinang lebih padu musim ini.

"Saya tidak menghadapi masalah untuk membentuk gandingan mantap dengan pemain seperti Faiz Subri, Jasazrin Jamaluddin, Raimi Mohd Nor dan beberapa pemain lain kerana mereka adalah rakan ketika bersama pasukan lain sebelum ini.

"Saya akan menggunakan segala pengalaman lebih 15 tahun dalam persada bola sepak tempatan untuk membantu dan memberikan sumbangan terbaik kepada Pulau Pinang bagi meletakkan kembali pasukan ini di puncak kejayaan," katanya.

83 dibaca
Berita Harian X