Selasa, 2 Januari 2018 | 11:15pm
PENGENDALI Liverpool, Juergen Klopp (kanan) sedang bercakap dengan pemain tengah, Philippe Coutinho (tengah) dan Mohamed Salah pada sesi latihan menjelang pertemuan menentang Everton pada saingan Piala FA. - Foto Reuters

Coutinho, Salah belum pasti diturunkan berdepan Everton

LONDON: Perancang utama Liverpool, Philippe Coutinho dan Mohamed Salah masih belum pasti dapat diturunkan untuk aksi Piala FA berdepan Everton, Sabtu ini.

Kedua-dua pemain itu terlepas aksi Liga Perdana Inggeris, semalam yang menyaksikan skuad The Reds mencatat kemenangan 2-1 ke atas Burnley.

Salah, penjaring terbanyak Liverpool yang sudah meledak 17 gol dalam 21 perlawanan musim ini terlepas kunjungan ke Burnley selepas mengalami kecederaan pangkal paha, manakala Coutinho yang mengumpul tujuh gol dalam 14 perlawanan liga juga diketepikan kerana kecederaan paha.

"Phil (Coutinho) dan Salah yang cedera, tidak terlalu teruk tetapi untuk hari ini (semalam) mereka tidak berpeluang untuk beraksi. Mereka belum pasti dapat diturunkan untuk pertemuan dengan Everton," kata Klopp kepada pemberita selepas kemenangan dramatik, semalam.

Sadio Mane satu-satunya pemain daripada gandingan empat tonggak Liverpool yang berada dalam skuad utama ketika berdepan Burnley dan bintang Senegal itu bersama pemain antarabangsa Mesir, Salah akan menghadiri anugerah Konfederasi Bolasepak Afrika di Ghana pada Khamis ini.

Klopp tidak bimbang dengan perjalanan jauh yang bakal ditempuhi penyerangnya iaitu malam sebelum pertemuan dengan Everton dan berkata beliau menghormati keputusan dua pemain itu untuk menyertai majlis anugerah berkenaan.

"Kami sudah menguruskan semuanya. Kami mempunyai dua daripada tiga pemain terbaik Afrika dalam skuad. Kami menghormati mereka," kata Klopp.

"Kami bermalam di hotel, mereka tidur dalam pesawat. Ia berbeza dan jika Salah tidak cergas (untuk perlawanan menentang Everton), dia tidak mungkin diturunkan. Bagi pihak kami, ia hanya satu isyarat penghormatan." - Reuters

16 dibaca
Berita Harian X