Selasa, 2 Januari 2018 | 7:37pm
BEKAS penyerang FELDA United FC, Norshahrul Idlan Talaha akan kemudi barisan depan Pahang menghadapi Thailand. - Foto fail

Tok Gajah uji bisa di Thailand

KUANTAN: Usaha membentuk pasukan yang mantap dan berkesan menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dilakukan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) yang membawa skuad Tok Gajah ke Thailand bagi mengadakan perlawanan persahabatan.

Tiga perlawanan diatur dengan kelab terkemuka di negara Gajah Putih sepanjang siri kunjungan bermula hari ini bakal memberi gambaran awal barisan pemain terbaik musim ini.

Kombinasi pemain lama dan baru dalam skuad Tok Gajah perlu digilap dalam usaha Pahang memburu kejayaan membanggakan musim ini selepas gagal menyerlah apabila hanya menduduki tempat ke dua Liga Super.


PEMAIN Pahang giat menjalani latihan sebelum uji skuad Thailand pada aksi persahabatan. - Foto Mohd Rafi Mamat

Kehadiran beberapa muka baru seperti Safuwan Baharudin, Bunyamin Umar, Norshahrul Idlan Talaha dan Chan Vathanaka diharap menjadi penyuntik kepada kekuatan pasukan musim ini.

Bagaimanapun kunjungan pasukan Tok Gajah ke Thailand tidak bersama dua pemain muda kebangsaan iaitu Matthew Davies dan Azam Azih yang kini bersama pasukan kebangsaan bawah 23 tahun.

Selepas mengharungi siri perlawanan persahabatan di Thailand yang turut akan menguji kecergasan pemain, pasukan Tok Gajah terus bakal menguji persefahaman dengan menyertai kejohanan empat penjuru di Kuala Terengganu pada 15-19 Januari.

Saingan di negeri jiran itu membabitkan dua pasukan wakil tuan rumah iaitu Terengganu FC 1 dan Terengganu FC 2 termasuk Melaka United (MU). Prestasi sebenar pemain Tok Gajah dapat dinilai t pada kejohanan berkenaan.

Rata-rata pemain Tok Gajah berpendapat tiga siri perlawanan persahabatan yang diadakan dapat menguji persefahaman antara pemain lama dan baru terutama membabitkan jentera serangan, tengah dan pertahanan.

Selepas memulakan latihan bulan lalu keserasian sudah mula dapat dilihat walaupun masih dianggap tidak begitu kemas seperti diharapkan jurulatih yang begitu memberi

tumpuan kepada aspek persefahaman.

32 dibaca
Berita Harian X