Isnin, 1 Januari 2018 | 6:10am
JAY Rodriguez (tengah) meraikan jaringan penyamaan bersama Jonny Evans pada aksi EPL antara West Bromwich Albion dan Arsenal, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

West Brom, Arsenal kongsi mata

WEST BROMWICH: Arsenal dinafikan kemenangan pada hari istimewa pengurus, Arsene Wenger apabila skuad kendaliannya diikat 1-1 oleh West Bromwich Albion yang meledak gol penyamaan kontroversi dalam aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Pada perlawanan ke-811 buat Wenger bersama Arsenal, jaringan sendiri James McClean yang tertampan sepakan percuma Alexis Sanchez pada minit ke-83 meletakkan Gunners di ambang meraih tiga mata penuh.

Sebaliknya ketika perlawanan berbaki seminit masa permainan, pemain Arsenal Calum Chambers dikatakan menyentuh bola di kawasan penalti oleh pengadil sebelum Jay Rodriguez menyempurnakannya untuk membawa West Brom keluar daripada tangga tercorot liga.


ALEXIS Sanchez (kanan) melompat gembira selepas menjaringkan gol pembukaan perlawanan ketika bertemu West Brom di The Hawthorns. - Foto AFP

Pemain-pemain Arsenal berang dengan keputusan berkenaan dengan Wenger turut bercakap dengan pengadil, Mike Dean tetapi pasukannya tetap gagal untuk memintas Tottenham Hotspur di tangga kelima liga.

"Saya sentiasa berusaha sejak bertahun-tahun lamanya supaya pengadil menjadi, tetapi malangnya tahap mereka tidak pernah meningkat. Ia sukar untuk diterima," kata Wenger kepada Sky Sports.

Kecederaan lutut menghalang Mesut Ozil dengan ketiadaan perancang Jerman itu membuatkan Arsenal bergelut untuk mencipta peluang pada babak pertama.


PEMAIN West Brom, Jay Rodriguez (kiri) menyempurnakan penalti untuk jaringkan gol penyamaan. - Foto REUTERS

Selepas rehat, Arsenal meningkatkan tempo permainan dan Alexandre Lacazette dua kali hampir menjaringkan gol tetapi dinafikan aksi menyelamat baik Ben Foster.

Rodriguez juga berpeluang menjaringkan gol buat tuan rumah tetapi rembatannya mudah diselamatkan Petr Cech sebelum 10 minit terakhir permainan menjadi lebih menarik. - REUTERS

Berita Harian X