Ahad, 31 Disember 2017 | 6:26am
PENYERANG Manchester United, Romelu Lukaku terbaring mengalami kecederaan selepas berlanggar dengan pemain Southampton pada saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Old Trafford, sebentar tadi. - Foto AFP

United hilang khidmat Ibrahimovic, Lukaku

MANCHESTER: Pengendali Manchester United Jose Mourinho mendedahkan Zlatan Ibrahimovic tidak dapat beraksi untuk tempoh sebulan, tetapi dia berharap Romelu Lukaku akan kembali cergas selepas mengalami kecederaan di kepala.

Ibrahimovic dikeluarkan ketika rehat sewaktu United seri menentang Burnley pada Boxing Day, tetapi Mourinho tidak mendedahkan tahap kecederaan yang dialami bekas bintang Paris Saint-Germain itu sehingga terpaksa berehat sepanjang Januari.

"Zlatan berehat sebulan," kata Mourinho selepas keputusan seri 0-0 menentang Southampton.

Ibrahimovic baru saja kembali menyertai skuad United selepas terlepas separuh babak awal musim ini kerana kecederaan lutut dialaminya April lalu.


PENYERANG Manchester United, Romelu Lukaku terpaksa diusung keluar selepas berlanggar dengan pemain Southampton pada saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Old Trafford, sebentar tadi. - Foto AFP

Tanpa Ibrahimovic untuk tempoh yang panjang, Mourinho berdepan pula masalah baru apabila penyerang Belgium, Lukaku diusung keluar pada babak pertama menentang Southampton selepas kepalanya terhantuk kepala Wesley Hoedt.

Dia menerima rawatan hampir lima minit sebelum dikeluarkan dari padang sambil memakai topeng oksigen.

Namun bagi Mourinho keadaan Lukaku tidak serius. "Itulah bola sepak. Dia cuma tidak bernasib baik. Saya rasa dia berebut bola dengan pertahanan Belanda itu dan Lukaku tidak bernasib baik, Hoedt juga tidak bernasib baik.

"Tidak ada apa-apa yang agresif dan saya harap, tidak ada yang serius. Tetapi akibatnya dia tidak dapat bermain untuk baki perlawanan tadi," katanya.

Perlawanan United seterusnya ialah menentang kelab lama Lukaku, Everton di Goodison Park esok.

- AFP

Berita Harian X