Khamis, 28 Disember 2017 | 7:28pm
BEKAS penjaga gawang nombor satu Pahang musim lalu, Wan Azraie Wan Teh akui saingan sengit perlu dihadapi jika mengidam posisi terbaik dalam skuad Peteh Terengganu Peteh.  - Foto Muhaizan Yahya

Belum tentu milik saya: Wan Azraie

KUALA TERENGGANU: Pemain baharu Terengganu FC I (TFC I), Wan Azraie Wan Teh tidak menganggap posisi penjaga gol nombor satu skuad itu sah menjadi miliknya dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Sebaliknya bekas penjaga gawang nombor satu Pahang musim lalu yang lebih mesra dipanggil Joie itu mengakui saingan sengit perlu dihadapi jika mengidam posisi terbaik dalam skuad Peteh Terengganu Peteh.

"Selepas bersetuju menyarung jersi skuad TFC I musim depan, saya tidak rasa posisi nombor satu menjadi milik saya kerana sedar saingan hebat akan dihadapi untuk mengisi posisi itu.

"Bagaimanapun saya melihat ia satu perkembangan sihat yang wajib ditempuhi dalam misi untuk meningkatkan lagi prestasi individu dan pasukan TFC I," kata pemain berasal dari Kuala Ibai itu.

Berdasarkan rekod, penjaga gol berusia 32 tahun itu mula mencipta nama bersama Shahzan Muda pada 2009 dan setahun kemudian dia dinaikkan pangkat ke dalam skuad utama Pahang hingga 2012.

Selepas itu bekas Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh menyenaraikan pemain itu ke dalam skuad Terengganu pada 2013 sebelum Wan Azraie berhijrah ke T-Team setahun kemudian.

Dalam saingan Liga M musim depan, Wan Azraie yang berhajat untuk beraksi dalam skuad kebangsaan itu akan menerima cabaran sengit penjaga gol berpengalaman berusia 39 tahun, Suffian Rahman, Syazwan Yusoff dan Faizal Yusoff.

Mengulas lanjut, Wan Azraie berkata, selepas hampir sebulan berlatih bersama skuad TFC I bermula 4 Disember lalu, dia mengakui prestasinya kini kian meningkat.

"Setiap pemain pasti mahu melakukan yang terbaik buat pasukan termasuk saya apatah lagi TFC I menyasarkan satu trofi kejuaraan dan ketiga Liga Super musim depan.

"Bagaimanapun saya menyerahkan kepada jurulatih untuk membuat keputusan siapa yang layak untuk mengisi posisi nombor satu itu," katanya.

Berita Harian X