Rabu, 27 Disember 2017 | 11:56am
JURULATIH pasukan Terengganu FC1, Irfan Bakti (kanan) memberi taklimat kepada pemain pada sesi latihan di Terengganu. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Azi Shahril ingin terus berguru bersama Irfan

KUALA TERENGGANU: Keinginan berguru dengan Irfan Bakti Abu Salim bersama Terengganu FC I (TFC I) membuatkan pemain tengah, Azi Shahril Azmi menolak tawaran beberapa pasukan lain untuk mendapatkan khidmatnya musim depan.

Bekas pemain kebangsaan berasal dari Perlis itu menyatakan hubungan erat antara pemain dan barisan kejurulatihan dalam skuad Penyu itu juga menguatkan lagi keyakinannya untuk terus kekal berkhidmat dengan pasukan TFC I itu.

"Saya menerima tawaran daripada pasukan lain yang beraksi dalam kancah Liga Super musim depan.

"Namun hasrat menimba sebanyak mungkin ilmu daripada Irfan Bakti membuatkan saya menolak secara baik pasukan lain apatah lagi saya pernah berguru dengan beliau pada 2008 hingga 2009 ketika mewakili Perlis.

"Selain itu keupayaan pemain TFC I berjaya muncul naib juara Liga Perdana musim ini dan seterusnya kembali beraksi dalam saingan Liga Super musim depan menambah lagi impian saya menyarung jersi skuad Peteh Terengganu Peteh itu," kata pemain berusia 32 tahun itu.

Musim ini, pemain yang mesra dipanggil Azi menyertai TFC I pada jendela kedua perpindahan pemain selepas kali terakhir menyarung jersi pasukan FELCRA FC sehingga Disember 2016 dalam saingan Piala FAM.


BEKAS pemain Pahang, Ashari Samsudin (tengah) kembali sarung jersi Terengganu FC I (TFC I) pada saingan Liga Super 2018. - IHSAN TFC

Kehadiran bekas pemain KL Plus, FELDA United, Johor FC dan PDRM itu tepat pada masanya sekali gus memantapkan lagi jentera tengah dan pertahanan skuad Penyu itu.

Mengulas lanjut, pemain yang mula membarisi skuad kebangsaan ketika berusia 19 tahun itu berkata, adunan pemain berpengalaman dan pemain muda seperti penyerang Pahang, Mohd Ashari Samsudin bersama Kamal Azizi Zambri, Abdul Malik Mat Ariff dan penjaga gol, Sufian Abd Rahman serta ramai lagi mampu melonjakkan lagi pasukan TFC I musim depan.

"Selain itu langkah PBSNT ( Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu) mengikat tiga pemain import yang pernah beraksi dalam Liga M iaitu Lee Tuck, Kim Hyeon Woo dan Tchetche Kipre serta dua pemain yang belum pernah beraksi dalam Liga M iaitu Thierry Chantha Bin dan Igor Zonjic mampu memberi kelebihan dalam misi untuk memperkuatkan lagi pasukan," katanya.

Mengenai sasaran peribadinya musim depan, pemain yang mampu menggunakan kaki kanan dan kiri untuk menyepak bola mensasarkan satu piala sesudah gagal mengucup Piala Liga Perdana musim ini.

"Semua pemain memiliki sasaran masing-masing begitu juga dengan saya yang berhajat untuk menjulang sekurang-kurangnya satu trofi dan layak beraksi dalam saingan Piala AFC 2019," kata Azi yang mahu menamatkan kariernya sebagai pemain pada usia 37 tahun.

Berita Harian X