Ahad, 24 Disember 2017 | 10:27am
PENYERANG Tottenham Hotspur, Harry Kane (kanan) menjaringkan gol ketiga ketika menentang Burnley pada saingan Liga Perdana Inggeris, malam tadi. - Foto AFP

Kane di ambang penjaring terbanyak Eropah 2017

LONDON: Harry Kane mampu menamatkan 2017 dengan berada di puncak senarai penjaring terbanyak dalam arena bola sepak Eropah tahun ini selepas meledak hatrik ketujuh musim ini ketika membantu Tottenham Hotspur menewaskan Burnley 3-0, semalam.

Pengurus pasukan, Mauricio Pochettino percaya pemainnya itu bukan saja mampu mencapai sasaran jaringan itu tetapi juga berkemampuan untuk menjadi lebih baik tahun depan.

Hatrik Kane itu bermakna dirinya kini sudah menjaringkan 53 gol dalam semua perlawanan kompetitif bersama kelab dan negaranya tahun ini sekali gus, meletakkan hanya satu gol di belakang pemain Barcelona dan Argentina, Lionel Messi.

PENYERANG Tottenham Hotspur berasal dari Korea Selatan, Son Heung-Min memeluk penyerang Harry Kane selepas ledak gol pertama ketika menentang Burnleym malam tadi. - Foto AFP

Pencapaian penyerang England itu kini sebaris dengan penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski, Cristiano Ronaldo (Real Madrid) dan Edinson Cavani (Paris St Germain).

Tidak seperti seterunya dalam catatan rekod itu, Kane bagaimanapun masih mempunyai satu perlawanan yang perlu diharungi sebelum tahun 2017 melabuhkan tirainya iaitu perlawanan di laman sendiri menentang Southampton pada 26 Disember ini.

Jaringan Kane di Turf Moor juga menjadikan jumlah jaringannya dalam kalendar Liga Perdana Inggeris tahun ini kepada 36 gol, menyamai pencapaian Alan Shearer pada 1995.

"Dia menakjubkan, seorang pemain yang luar biasa, dia memerlukan satu gol lagi untuk mengatasi Alan. Kita lihat pada perlawanan seterusnya. Namun, ia adalah sesuatu yang menarik untuk dirinya," kata Pochettino.

"Sukar untuk menggambarkan Harry Kane. Malah ketika saya bersama Spurs, saya amat terkejut dengannya. Jaringan hatrik bagus untuk dirinya tetapi kami mampu meledak lebih banyak gol, lebih daripada tiga. Saya bimbang apabila kamu tidak mencipta sebarang peluang."

Pochettino juga diajukan soalan sama ada Kane mampu memecahkan rekod 260 jaringan dalam karier Shearer dan dia berkata: "Kami berharap untuk Tottenham dan juga dirinya. Saya berharap yang setiap musim (tahun) dia akan meledak 50 gol ataupun lebih lagi.

"Saya fikir dia masih dalam peningkatan, dia baharu berusia 24 tahun dan kemuncak prestasi bagi seseorang pemain hadir pada usia 27, 28, 29 dan ia juga bergantung kepada sejauh mana tahap profesional kamu.

"Harry Kane, sekiranya kamu mengekalkan mentaliti sedia ada, berusaha gigih setiap hari, pastinya boleh beraksi sehingga dirinya mahukan. Namun bagi saya, dia masih boleh meningkat dalam permainannya."

- Reuters.

Berita Harian X