Sabtu, 23 Disember 2017 | 12:33am
Pep Guardiola.- Foto AFP

City pilihan, Liverpool, Arsenal bisa melopong

Aksi minggu ini adalah yang terakhir bagi fasa pertama saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi musim 2017/2018. Selepas 18 perlawanan, nampaknya Manchester City kini menjadi calon pilihan utama untuk merangkul kejuaraan.

Pasukan bimbingan Pep Guardiola ketika ini gah berada di puncak dengan himpunan 52 mata, meninggalkan agak selesa pesaing terdekat Manchester United di tangga kedua dengan kelebihan 11 mata.

Anak buah Jose Mourinho mengumpul 41 mata dan harapan memintas The Citizens jelas hanya mampu dicapai jika lawannya itu tewas empat daripada 19 baki aksi. Dan dalam masa sama juga, ia mesti menang semua baki perlawanan fasa kedua.

Satu lagi pesaing terdekat City iaitu Chelsea, berada di kedudukan ketiga ketika ini namun ketinggalan 14 mata. Penyandang juara ini boleh memintas City jika tewas baki lima aksi dan mereka pula menang semua baki 19 perlawanan selepas ini.

Setakat ini pembimbing The Blues, Antonio Conte sudah mengangkat bendera putih untuk mempertahankan kejuaraan. Begitu juga pengendali United, Jose Mourinho selepas melihat jurang mata dengan tetangganya itu agak besar.

Malam ini, City hampir pasti mampu mengukuhkan kedudukan di persada apabila melayan kunjungan pasukan pertengahan dan ke bawah liga, Bournemouth dengan satu lagi keputusan dijangka memihak mereka.

Pada pertengahan minggu ini, Guardiola mengemudi pasukannya mara ke saingan separuh akhir Piala Liga selepas mengenepikan Leicester City. Mereka bakal bertemu Bristol City bulan depan bagi merebut tempat ke final.

Dengan catatan rekod tanpa kalah selepas 18 aksi minggu lalu, rasanya isu motivasi buat skuad The Citizens untuk menutup tirai fasa pertama EPL musim ini dengan catatan cemerlang tidak timbul sama sekali.

Sementara itu, pertembungan antara Arsenal dan Liverpool di Emirates awal pagi ini waktu Malaysia menjadi perlawanan tumpuan minggu ini. Namun sebarang keputusan menyebelahi satu daripada pasukan ini tidak menjejaskan kedudukan tiga teratas liga.

Arsenal yang turut layak ke separuh akhir Piala Liga selepas menewaskan West Ham, 1-0 ketika ini menduduki tangga kelima liga hasil himpunan 33 mata. Ia hanya ketinggalan satu mata di belakang Liverpool yang berada setakuk di atas.

Dari segi realitinya, kemenangan sangat didambakan oleh kedua-dua pasukan.

Selepas kejuaraan liga hampir pasti tidak mampu digapai, sasaran mereka kini adalah untuk berada dalam kedudukan empat terbaik di penghujung liga bagi memastikan tempat bersaing dalam Liga Juara-Juara musim depan.

Musim ini, Liverpool beraksi dalam Liga Juara-Juara manakala Arsenal berentap di Liga Europa. Baik Arsene Wenger atau Jurgen Klopp, penulis percaya kedua-duanya sudah ada strategi untuk memerangkap lawan masing-masing.

Jadi apakah ramalan keputusan perlawanan? Bersandarkan kepada beberapa pertimbangan, kemenangan kelihatannya sukar berpihak kepada mana-mana pasukan kecuali berlaku sesuatu seperti pembuangan pemain berlaku.

Sementara itu, United yang disingkirkan oleh Bristol pada suku akhir Piala Liga akan berkunjung ke Stadium King Power untuk bertemu Leicester City. Mourinho jelas tiada pilihan kecuali memenangi aksi andai ingin bangkit. Selamat menonton.

Ramalan Minggu ke-19

Arsenal 2 Liverpool 1

Everton 1 Chelsea 1

Brighton 2 Watford 1

Manchester City 4 Bournemouth 0

Southampton 2 Huddersfield 1

Stoke City 1 West Bromwich 1

West Ham 1 Newcastle United 3

Swansea City 2 Crystal Palace 2

Burnley 1 Tottenham Hotspur 2

Leicester City 1 Manchester United 3

* Penulis - Amirullah Andi Nur adalah Penolong Editor Sukan BH

19 dibaca
Berita Harian X