Selasa, 19 Disember 2017 | 9:57pm
PEMAIN Pahang, Mohamadou Sumareh (tengah) janji beri aksi lebih bertenaga dalam usaha membantu skuad itu meraih kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2018. - Foto Luqman Hakim Zubir

Sumareh tekad bantu Pahang julang piala

KUANTAN: Pemain import Pahang, Mohamadou Sumareh menjanjikan aksi lebih bertenaga dalam usaha membantu skuad itu meraih kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2018.

Pemain kelahiran Gambia yang kini memasuki musim keduanya bersama Pahang percaya skuad dengan jolokan Tok Gajah itu mampu melakar kejayaan membanggakan dengan menjulang sekurang-kurangnya satu trofi.

Biarpun pasukan belum lengkap sejak sesi latihan bermula minggu lalu, Sumareh yakin skuad kendalian Dollah Salleh bakal menyerlah, sekali gus mampu melakar kejayaan musim depan.

Bagi Sumareh, dia akan memberikan persembahan terbaiknya selepas Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) melanjutkan kontraknya bersama skuad berkenaan.

"Apa yang perlu dilakukan adalah untuk mengembalikan prestasi pada tahap terbaik selepas berehat panjang sebaik liga tamat bulan lalu. Dengan kehadiran rakan baru dalam pasukan, kami akan membentuk keserasian dalam tempoh segera," kata pemain berusia 26 tahun itu.

Musim lalu, Sumareh membantu skuad itu muncul naib johan Piala FA dan menduduki tempat kedua Liga Super.

Kali terakhir Pahang menjulang piala ialah pada tahun 2014 dengan meraih tiga gelaran selaku juara Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih.

15 dibaca
Berita Harian X