Isnin, 18 Disember 2017 | 9:24am
REAKSI pengendali Liverpool, Juergen Klopp ceria selepas berjaya menewaskan Bournemouth pada saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Vitality, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Klopp mahu anak buah lebih konsisten

LONDON: Pengurus Liverpool, Juergen Klopp menggesa pemainnya supaya lebih konsisten susulan kemenangan 4-0 ke atas Bournemouth awal pagi tadi selepas terikat tanpa jaringan di laman sendiri dengan pasukan yang sedang bergelut di zon penyingkiran, West Bromwich Albion, pertengahan minggu lalu.

Philippe Coutinho, Dejan Lovren, Mohamed Salah dan Roberto Firmino masing-masing meledak jaringan di Stadium Vitality bagi membantu Liverpool berganjak ke kedudukan keempat liga dan meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris kepada sembilan perlawanan.

Klopp jelas gembira dengan persembahan pasukan namun berkata anak buahnya harus mengekalkan rentak sedia ada dalam kesemua perlawanan akan datang.


KLOPP memeluk Danny Ings sebaik perlawanan tamat di Stadium Vitality, awal pagi tadi. - Foto Reuters

"Saya tidak berada di sini untuk meraikan skuad saya," kata Klopp. "Saya seperti mereka juga - sebab itulah mereka berada di Liverpool. Ketika perlawanan West Brom, mereka adalah pemain yang sama tetapi mereka tidak mencapai sasaran.

"Saya tidak mengubah pendirian saya (mengenai pemain). Mereka bagus - sebab itu mereka berada di Liverpool - tetapi mereka perlu lebih konsisten kerana kami adalah Liverpool.

"Kami konsisten tetapi perlu lebih konsisten lagi pada saat penting ini. Kami mempunyai beberapa perlawanan lagi seperti perlawanan dengan West Brom - bukan berdasarkan prestasi tetapi keputusan."

Pemain tonggak Brazil, Coutinho melonjakkan prestasinya apabila berjaya meloloskan diri daripada pertahanan Bournemouth dan meledak jaringan selepas minit ke-20 permainan.

"Dia seorang pemain yang menakjubkan tetapi tugas LFC adalah untuk bermain tanpa Phil Coutinho, bermain tanpa Sadio Mane, bermain tanpa Mo Salah," katanya. "Itu menjadikan kualiti utama skuad ini.

"Hari ini, dia (Coutinho) beraksi dengan sangat baik dan banyak membantu pasukan tetapi mengenai perpindahan, tidak ada yang perlu kami diperkatakan.

"Tidak ada yang positif dan tidak ada yang negatif, sehingga sesuatu berlaku. Apapun, ia masih dalam beberapa minggu dan bulan saja lagi." - Reuters


PERANCANG Liverpool, Philippe Coutinho mengawal bola cuba dihalang dua pemain Bournemouth pada saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Vitality, awal pagi tadi. - Foto Reuters


PENYERANG Bournemouth, Jermain Defoe (kiri) diasak pemain pertahanan Liverpool dari Croatia, Dejan Lovren pada saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Vitality, awal pagi tadi. - Foto AFP


PEMAIN Liverpool, Roberto Firmino (kiri) meraikan gol jaringannya bersama penyerang Liverpool berasal dari Mesir, Mohamed Salah pada saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Vitality, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Berita Harian X