Isnin, 18 Disember 2017 | 1:12am
THE Red Devils berjaya mempertahankan kelebihan satu gol untuk meraih tiga mata, sebentar tadi. - Foto Reuters

West Brom cemaskan United

LONDON: Manchester United berdepan detik cemas pada lewat perlawanan sebelum menewaskan West Bromwich Albion 2-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Hawthorns, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan The Red Devils kekal ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu, Manchester City.

Bekas penyerang West Brom yang kini beraksi bersama United, Romelu Lukaku menjaringkan gol ke-15 musim ini apabila membuka tirai jaringan menerusi tandukan pada minit ke-27.


PEMAIN West Brom, Gareth Barry (dua dari kanan) menjaringkan gol tunggal buat pasukan ketika tewas kepada United, sebentar tadi. - Foto Reuters

Pemain tengah United, Jesse Lingard meledak gol kedua skuad kendalian Jose Mourinho, lapan minit kemudian.

United dilihat mampu meraih kemenangan selesa tetapi West Brom mencemaskan anak buah Mourinho seketika apabila pemain gantian, Gareth Barry meledak gol untuk merapatkan jurang pada minit ke-77.


PENYERANG United, Romelu Lukaku diasak pemain West Brom, Kieran Gibbs (kanan) pada aksi di The Hawthorns. - Foto AFP

Bagaimanapun, The Red Devils berjaya mempertahankan kelebihan satu gol itu untuk meraih tiga mata.

Keputusan itu juga menyaksikan mereka kekal di tangga kedua dengan kelebihan tiga mata di depan penghuni tangga ketiga, Chelsea. - Reuters

Berita Harian X