Sabtu, 9 Disember 2017 | 9:23pm
LEGENDA Manchester United, Ryan Giggs berminat latih skuad Wales.

Giggs nyatakan minat kendali Wales

LONDON: Legenda Manchester United, Ryan Giggs menyatakan dia bersedia menjadi pesaing selaku pengurus Wales.

Chris Coleman meletak jawatan selaku pengurus Wales bulan lalu untuk mengemudi kelab divisyen dua England, Sunderland dan Persatuan Bolasepak Wales sedang mencari pengganti.

Giggs menjaringkan 12 gol dalam 64 penampilan buat Wales sepanjang tempoh 16 tahun antara 1991 hingga 2007 dan berkata dia gembira jika boleh menggantikan Coleman.

"Sudah tentu saya berminat," kata Giggs kepada Sky Sports.

"Saya sudah bermain buat Wales dan saya sudah berkata saya mahu kembali menjadi jurulatih. Jelas ia adalah satu daripada tugas yang penting. Saya bermain buat United, saya bermain buat Wales.

"Saya masih belum bercakap dengan sesiapa buat masa ini, tetapi sudah tentu saya berminat."

Giggs, 44, bertanggungjawab untuk empat perlawanan sebagai pemangku pengurus United pada 2014 selepas David Moyes dipecat dan kemudian berkhidmat sebagai pembantu Louis van Gaal selama dua tahun dan meninggalkan kelab itu tahun lalu.

Rakan sepasukannya bersama Wales, John Hartson dan Craig Bellamy juga menyatakan minat terhadap jawatan itu manakala Tony Pulis dipercayai akan menjadi antara pencabar.

Coleman membawa Wales melakukan kejutan mara ke separuh akhir Euro 2016, tetapi gagal melayakkan diri ke Piala Dunia tahun depan di Russia. - AFP

Berita Harian X