Sabtu, 9 Disember 2017 | 6:18am
PENGENDALI Tottenham, Mauricio Pochettino (kiri) tidak mahu cicir mata dalam usaha buru gelaran liga. - Foto Reuters

Pochettino resah bermain di Wembley

LONDON: Pengendali Tottenham, Mauricio Pochettino berkata aksi di Wembley amat mengganggu peluang memburu gelaran Liga Perdana Inggeris buat Spurs apabila lawan mereka tampil lebih bermotivasi bermain di stadium nasional itu.

Spurs yang tercicir daripada perebutan gelaran - dijadual menentang Stoke di stadium itu hari ini sebelum melayan kunjungan Brighton, Rabu depan dan mereka tidak boleh terlepas mata lagi sekiranya mahu menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik.

Namun anak buah Pochettino sudah membuktikan kemampuan mereka di Wembley musim ini - mengumpul 12 mata daripada 21 mata ditawarkan dalam Liga Perdana, yang turut menyaksikan mereka diikat Burnley, Swansea dan West Brom.

"Bermain di laman sendiri sentiasa lebih baik berbanding aksi di mana kami berada ketika ini," kata Pochettino. "Ia juga penting bagaimana lawan mentafsirkan sendiri Wembley - ia amat menarik apabila beraksi di Wembley.

"Saya bukannya menyalahkan Wembley ataupun mencari alasan. Namun apabila lawan tiba di Wembley untuk beraksi, ia akan menjadi hari bersejarah. Untuk kebanyakan kelab, ia adalah sukar bermain di Wembley tetapi hari ini ia mudah kerana kamu berada dalam Liga Perdana.

"Sudah pasti ia akan menjadi satu motivasi besar buat lawan. Kami juga mempunyai kelebihan kerana bukan hanya kamu yang bertarung dengan lawan tetapi turut bertempur dengan motivasi dimiliki mereka juga.

"Stadium baharu (bermula musim depan) akan banyak membantu pasukan. Kami tidak sabar untuk beraksi di sana dan menjadikan ia laman kami. Apa yang sedang kami usahakan adalah untuk memanfaatkan kelebihan itu untuk beberapa tahun akan datang."

Tottenham hanya mampu meraih satu kemenangan daripada enam perlawanan sebelum ini, satu prestasi hambar yang menyaksikan mereka kini 18 mata ketinggalan daripada pendahulu Manchester City dan tercicir empat mata di belakang penghuni tangga keempat, Liverpool.

Sementara itu, Pochettino turut diajukan soalan mengenai kemungkinan kelab untuk membawa penyerang Real Madrid, Gareth Bale kembali bersama Spurs pada masa depan.


PENYERANG Real Madrid berasal dari Wales, Gareth Bale dikaitkan bakal kembali ke White Hart Lane. - Foto EPA-EFE

"Saya melihat aksinya di Madrid ketika kami bermain di sana," kata Pochettino. "Dia sentiasa berhubung dengan pihak di sana yang dia pernah bersama sebelum ini.

"Namun kemudian, saya tidak tahu kerana saya tidak mempunyai hubungan rapat dengannya ataupun orang di sekelilingnya.

"Sudah tentu dia seorang pemain yang hebat dan kamu tidak akan tahu kerana dalam bola sepak, apa juga boleh berlaku." - AFP

Berita Harian X