Jumaat, 8 Disember 2017 | 11:39am
PEMAIN tengah Arsenal, Jack Wilshere menerima tepukan gemuruh daripada penyokong selepas beliau meledak gol ketika menentang BATE Borisov di London, awal pagi tadi. - Foto EPA-EFE

Wilshere curi tumpuan tamat kemarau gol

PARIS: Jack Wilshere mencuri tumpuan ketika Arsenal membelasah BATE Borisov 6-0 dalam aksi terakhir kumpulan Liga Europa di Stadium Emirates yang separuh kosong, awal pagi tadi.

Arsene Wenger melakukan 11 pertukaran terhadap kesebelasan utama ketika tewas kepada Manchester United minggu lalu tetapi barisan kedua pengendali dari Perancis itu mempamerkan prestasi cemerlang dan menghadiahkannya kemenangan ke-700 sebagai pengurus Arsenal.

Selepas bebas daripada kecederaan, Mathieu Debuchy memulakan pesta gol Arsenal apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-11 - gol pertamanya selepas 1,082 hari - sebelum Theo Walcott meledak gol kedua.

JACK Wilshere (kiri) diasak dua pemain BATE Borisov, Mirko Ivanic (tengah) pada aksi Liga Europa di London, awal pagi tadi. - Foto EPA-EFE

Dua minit sebelum rehat, Wilshere menamatkan kemarau golnya selepas kali terakhir pada musim 2014-15.

Gol sendiri Denis Polyakov menjadikan kedudukan 4-0 buat Arsenal sebelum Olivier Giroud mencatat jaringan keenam musim ini menerusi sepakan penalti.

Mohamed Elneny melengkapkan kemenangan Gunners apabila meledak gol keenam ketika perlawanan berbaki 16 minit.

"Ia melegakan saya (dapat menjaringkan gol). Ia hanyalah perlawanan biasa - ia tidak membawa apa-apa makna kerana kami sudah muncul juara kumpulan.

"Ia satu perlawanan yang mana anda perlu ada minda positif - kami menikmatinya. Kami gembira berjaya ke pusingan seterusnya, apa yang kami boleh lakukan adalah membuatkan pengurus pening kepala apabila kami diberi peluang," kata Wilshere.

Arsenal menamatkan saingan Kumpulan H sebagai juara dengan kelebihan empat mata mengatasi penghuni tangga kedua, Red Star Belgrade yang turut layak ke pusingan kalah mati selepas menewaskan Cologne 1-0. - AFP

PENGENDALI Arsenal, Arsene Wenger puas hati aksi anak buah ketika menentang BATE Borisov pada saingan Liga Europa di London, awal pagi tadi. - Foto AFP

GAYA Olivier Giroud meraikan gol ledakannya ketika menentang BATE Borisov di London, awal pagi tadi. - Foto Reuters

PEMAIN Arsenal memeluk Mathieu Debuchy (dua dari kiri) selepas menjaringkan gol pertama ketika menentang BATE Borisov di London, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Berita Harian X