Khamis, 7 Disember 2017 | 6:34am
PHILIPPE Coutinho (tengah) meledak hatrik bagi membantu Liverpool melakar kemenangan besar 7-0 ke atas Spartak Moscow dalam aksi Kumpulan E Liga Juara-Juara di Anfield. - Foto AFP

Coutinho ledak hatrik, bantu Reds mara

LIVERPOOL, England: Pemain tengah Brazil, Philippe Coutinho meledak hatrik bagi membantu Liverpool melakar kemenangan besar 7-0 ke atas Spartak Moscow dalam saingan Liga Juara-Juara, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad The Reds mara ke pusingan kalah mati sebagai juara Kumpulan E.

Pengurus Liverpool, Juergen Klopp menurunkan jentera serangan terbaiknya dan ternyata ia memberi kesukaran kepada lawan mereka dari Russia itu apabila Coutinho membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi sepakan penalti sebelum meledak gol kedua pada minit ke-15.

Roberto Firmino meletakkan Liverpool terus selesa di depan apabila menjaringkan gol ketiga buat pasukan itu tiga minit kemudian sebelum Sadio Mane menjadikan keputusan 4-0 sebelum rehat.

Coutinho melengkapkan hatrik sebaik babak kedua bersambung apabila menjaringkan gol kelima pada minit ke-50 disusuli gol Mane (m-76) dan Mohamed Salah (m-86).

Kekalahan itu menyaksikan Spartak menamatkan saingan kumpulan di kedudukan ketiga dan akan beraksi dalam saingan Liga Europa. - Reuters

Berita Harian X