Selasa, 5 Disember 2017 | 12:34pm
PENYERANG Liverpool berasal dari Mesir, Mohamed Salah (dua dari kiri) menjadi sandaran utama pacu barisan serangan menjelang menentang Spartak Moscowpada saingan Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini. - Foto Reuters

Liverpool kembali ke tahap terbaik berdepan Spartak

LONDON: Mohamed Salah sudah menjadi tajuk utama musim ini, namun ketika Liverpool menang besar 5-1 ke atas Brighton and Hove Albion, dia adalah komponen utama sebuah armada serangan.

Salah mengambil tempat duduk belakang di Stadium Amex Sabtu lalu, berpuas hati dengan menghulurkan bantuan ketika Roberto Firmino menjaringkan dua gol manakala Philippe Coutinho menemui jaring dengan sepakan percuma yang melepasi benteng Brighton.

Dengan dua kemenangan dalam enam saingan terakhir, Liverpool kembali ke kelompok empat teratas Liga Perdana buat pertama kali sejak Ogos.

Satu saja kesilapan mereka dalam minggu kebelakangan ini ialah seri 3-3 di Sevilla pada saingan Liga Juara-Juara, ketika mereka gagal mempertahankan kelebihan 3-0 menyebabkan kelab itu perlu memungut sekurang-kurangnya satu mata di laman sendiri berdepan Spartak Moscow awal pagi Khamis ini untuk mara ke kelompok 16 terakhir.

Tetapi selepas menjaringkan 25 gol dalam lapan perlawanan terakhir semua kejohanan, Liverpool bermain dengan lebih keyakinan dalam mana-mana fasa dua tahun kendalian Jurgen Klopp.

Persembahan Liverpool di Brighton menyebabkan pengurus, Chris Hughton menggambarkan skuad Klopp "pasukan terbaik pernah kami bermain musim ini", walaupun pasukannya pernah tewas 2-0 kepada pasukan bimbingan Pep Guardiola, Manchester City.

Klopp memuji penyerang Brazil, Firmino, yang melengkapkan dua jaringan hebat menerusi serangan balas pantas untuk memberikannya jaringan ke-11 musim ini.

"Roberto menjaringkan dua gol, tetapi secara jujur, apa yang dia lakukan di sebalik dua gol ini lebih menggembirakan saya," kata Klopp kepada akhbar Echo Liverpool.

"Dalam semua serangan balas pantas, sebahagian besar dia memenangi bola. Dengan berada di sini, dengan sedikit rasa terganggu - sedikit kaki, sedikit jari - bagi kami ia penting.

"Bersama pemain lain di sekelilingnya, anda perlu membiasakan diri. Mereka semua berbeza dan semuanya bagus. Saya sangat sukakan pemain ini. Kerana itu mereka berada di sini." - AFP

Berita Harian X