Jumaat, 1 Disember 2017 | 11:33am
PEMAIN pertahanan Liverpool, Joe Gomez harap The Reds terus peraga aksi mantap untuk kejar empat pasukan teratas. - Foto EPA-EYE

Penentu nasib Liverpool

Brighton: Pertahanan Liverpool, Joe Gomez mengakui kelabnya akan melalui perlawanan yang menjadi penentu hala tuju mereka musim ini menjelang perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Brighton & Hove Albion, esok.

The Reds kini menduduki tangga kelima, 14 mata ketinggalan di belakang pendahulu liga, Manchester City tetapi tidak jauh berbanding Manchester United, Chelsea dan Arsenal yang berada di atas mereka.

Kemenangan 3-0 Liverpool ke atas Stoke City, Rabu lalu bermakna skuad bimbingan Jurgen Klopp hanya tewas satu daripada 10 perlawanan liga dengan meraih lima kemenangan serta empat seri.

Liverpool juga akan berdepan tugas sukar bertemu Spartak Moscow minggu depan dalam usaha mereka untuk melangkah ke pusingan kalah mati saingan Liga Juara-Juara.

"Ia pasti menjadi penentu hala tuju kelab dalam konteks menghadapi cabaran.

"Apa yang kami mahu lakukan ialah cuba memanfaatkan baki mata yang ada dan berharap dapat memperbaiki kedudukan sebaik mungkin.

"Momentum dan keyakinan akan banyak membantu untuk menghadapi saingan seterusnya," katanya.

Klopp meletakkan penyerang Liverpool, Mohamed Salah di bangku simpanan ketika mencatat kemenangan ke atas Stoke sebelum memasukkannya di babak kedua.

Di sebalik aksi yang singkat di atas padang, pemain antarabangsa Mesir itu mempamer prestasi cemerlang dengan meyumbat dua gol.

Gomez percaya keputusan Klopp merehatkan Salah menunjukkan kekuatan Liverool musim ini.

"Salah berada pada prestasi terbaik dan gol yang disumbangkan untuk pasukan sangat berharga.

"Bukan dia saja, malah barisan jentera serangan yang lain juga beraksi dengan baik," katanya.

Berita Harian X