Rabu, 29 November 2017 | 10:25am
PENGURUS Manchester United, Jose Mourinho berkata sesuatu kepada pemainnya, Marcos Rojo dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

United patut menang selesa

WATFORD: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho berkata skuad bimbingannya seharusnya 'menghisap cerut' selepas mereka terpaksa bekerja keras bagi melakar kemenangan 4-2 ke atas Watford dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, pengendali dari Portugal itu berkata mereka menjadi tidak stabil apabila pemain tengah, Nemanja Matic dibawa keluar pada awal babak kedua kerana kecederaan.

United mendahului 3-0 sebelum waktu rehat perlawanan yang berlangsung di Vicarage Road menerusi dua jaringan daripada Ashley Young dan Anthony Martial.


JESSE Lingard (kanan) meraikan jaringan keempat United ketika menewaskan Watford di Vicarage Road, awal pagi tadi. - Foto AFP

Namun, selepas rehat Watford berjaya meledak dua gol menerusi sepakan penalti Troy Deeney dan Abdoulaye Doucoure sebelum Jesse Lingard memastikan kemenangan mutlak milik United apabila menjaringkan gol ketika perlawanan berbaki empat minit.

Kemenangan The Red Devils itu hadir selepas dua kekalahan berturut-turut di tempat lawan dan menyaksikan anak buah Mourinho kini hanya ketinggalan lima mata di belakang pendahulu liga, Manchester City yang akan bertemu Southampton, awal pagi esok.

Bagaimanapun, Mourinho secara terbuka meluahkan kekecewaannya: "Pada babak kedua kami sepatutnya boleh mendahului 5-0 atau 6-0. Lebih mudah untuk menjaringkan gol pada babak kedua berbanding separuh masa pertama.


PEMAIN tengah United, Paul Pogba (kiri) cuba diasak Tom Cleverley. - Foto EPA

"Ia adalah perlawanan mudah untuk menang keputusan yang selesa. Ketika kedudukan 3-2, peluang kami menjadi semakin sukar dan selepas itu Jesse Lingard mematikan perlawanan.

"Dia dan Ashley Young menjaringkan gol yang hebat. Kami terlepas untuk mendahului 4-0 dan Romelu Lukaku ada peluang terhidang, Paul Pogba juga...kami sepatutnya menghisap cerut tetapi kemudiannya berdepan masalah," kata Mourinho.

Mourinho, berkata ketiadaan Matic menyaksikan situasi yang pada awalnya sangat selesa buat pasukan itu menjadi sukar.

"Kami kehilangan stabiliti apabila Nemaja Matic dikeluarkan tetapi apa yang paling penting adalah tiga mata," kata bekas pengendali Chelsea itu.


Jesse Lingard dijatuhkan pemain Watford, Adrian Mariappa pada aksi EPL, awal pagi tadi. - Foto EPA

"Saya dapat melihat kegembiraan dalam pasukan ini dan mereka bermain dengan fikiran yang tenang. Musim lalu saya belajar apa yang boleh dilakukan Ashley Young, dia memberikan stabiliti dalam persembahannya dan musim ini dia sering diturunkan."

"Dia mempunyai semangat dan pengalaman yang kami perlukan, hari ini dia juga membuktikan mempunyai bakat menjaringkan dua gol yang cantik." - AFP

Berita Harian X