Khamis, 23 November 2017 | 12:51pm
PEMAIN pertahanan Manchester United, Daley Blind (kiri) dan Pogba (dua dari kanan) mengekang pemain Basel, Mohamed Elyounoussi (dua dari kiri) pada saingan peringkat Kumpulan A Liga Juara-Juara di Stadium St. Jakob-Park, awal pagi tadi. - Foto EPA-EFE

Bukan salah Blind

BASEL: Manchester United melepaskan peluang untuk mara ke peringkat kelompok 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara ketika saingan berbaki satu perlawanan buat kali pertama sejak 2014 apabila dibolosi gol lewat sekali gus tewas 1-0 di tangan Basel, sebentar tadi.

Pemain tengah Basel, Micheal Lang meledak gol kemenangan pada minit ke-89 selepas menyudahkan hantaran Raoul Petretta tanpa dapat diselamatkan penjaga gol United, Sergio Romero.


JURULATIH Manchester United, Jose Mourinho jelas kecewa dengan keputusan awal pagi tadi. - Foto REUTERS

United masih kekal mendahului Kumpulan A dengan 12 mata daripada lima perlawanan diikuti Basel di tangga kedua dan hanya perlu mengelak daripada tewas melebihi enam gol di tangan CSKA Moscow pada aksi terakhir kumpulan untuk layak ke peringkat seterusnya.

Pertahanan United, Daley Blind menyalahkan dirinya atas jaringan lewat Basel itu selepas mengakui dia begitu lambat untuk menutup pergerakan Lang.

Namun, Jose Mourinho enggan menyalahkan Blind tetapi dalam masa sama, tetap melontarkan rasa kecewa apabila anak buahnya gagal beraksi dengan baik dan mensia-siakan peluang untuk meledak lima gol pada separuh masa pertama.

"Tidak adil untuk Blind menyalahkan dirinya sendiri. Dia beraksi dengan positif. Kami perlu menyalahkan semua pemain di atas padang kerana memiliki banyak peluang.

"Kami tidak perlu menang aksi terakhir namun jelasnya, kami tetap mahu mencatat kemenangan pada perlawanan itu," kata bekas pengendali The Blues itu. - REUTERS


PENJAGA gol Manchester United dari Argentina, Sergio Romero (tengah) gagal menghalang gol jaringan pemain Basel pada saingan Liga Juara-Juara di Stadium St. Jakob-Park, awal pagi tadi. - Foto AFP


PEMAIN tengah Manchester United, Paul Pogba (kiri) melakukan sepakan percuma namun tersasar pada saingan Liga Juara-Juara di Basel, awal pagi tadi. - Foto AFP


PEMAIN pertahanan Basel, Michael Lang penjaring gol tunggal perlawanan ketika menentang Manchester United, awal pagi tadi. - Foto AFP

Berita Harian X