Selasa, 21 November 2017 | 10:05pm
PENGURUS Tottenham, Mauricio Pochettino hadir pada sidang media menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Borussia Dortmund. - Foto EPA-EFE

Pochettino mahu Spurs lepas geram dengan Dortmund

LONDON: Tottenham Hotspur perlu segera melupakan kekecewaan tewas kepada Arsenal dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan memburu kemenangan ke atas Borussia Dortmund dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi ini.

Kekalahan Spurs di Emirates, Sabtu lalu meletakkan mereka di tangga keempat liga, ketinggalan 11 mata dengan pendahulu Manchester City dan meneruskan rekod buruk bertemu enam kelab terbaik dengan hanya satu kemenangan daripada 17 perlawanan.

Tottenham yang menghuni tangga teratas Kumpulan H Liga Juara-Juara yang turut diisi juara, Real Madrid sudah pun mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati tetapi pengendali Mauricio Pochettino percaya, Dortmund adalah peluang terbaik untuk mereka melupakan duka kekalahan aksi musuh setempat Utara London itu.

"Kini kami perlu meneruskannya dan bersedia untuk menghadapi Borussia Dortmund. Kami sudah layak ke peringkat seterusnya di kejohanan ini tetapi kami mahu menang dan cuba untuk mengubah perasaan yang kami lalui bermula minggu ini," kata Pochettino.

"Amat penting untuk bersaing dan terus fokus pada perlawanan berikutnya dan apabila kamu kalah, penting untuk bermain secepat mungkin untuk mengubati kekecewaan itu."

Perancang Tottenham, Christian Eriksen senada dengan pengurusnya dan berkata, perlawanan menentang Dortmund membolehkan pemain-pemain Spurs menunjukkan kebolehan sebenar mereka selepas aksi mengecewakan bertemu Arsenal.

"Mungkin bagus apabila kami dapat mengharungi perlawanan dengan pantas selepas perlawanan tetangga itu dan kami berpeluang membalas dendam," kata Eriksen.

"Kamu boleh membuktikan kepada dunia yang kamu lebih baik daripada apa yang kamu lihat pada Sabtu lalu."

Tottenham diletakkan sebagai pilihan pertembungan musuh setempat Utara London itu dan dikritik hebat susulan ketumpulan jentera serangan tetapi Pochettino mengalu-alukan kritikan itu dengan berkata ia menunjukkan pasukannya meningkat di bawah kendaliannya.

"Jangkaannya ketika ini adalah kami menang Liga Juara-Juara dan Liga Perdana dan saya gembira dengan segala tekanan dan kritikan," kata Pochettino.

"Ia bermakna orang menjangkakan sesuatu yang lebih daripada kami. Kami tahu yang kami perlu meningkat dari segala aspek." - Reuters

22 dibaca
Berita Harian X