Selasa, 21 November 2017 | 12:02pm
PERSEMBAHAN diperagakan Paul Pogba selepas kembali daripada kecederaan membuktikan dia adalah pemain penting buat United. - Foto AFP

Pogba bawa impak besar buat United

LONDON: Dia tidak memiliki reputasi segah rakan sepasukannya, Zlatan Ibrahimovic namun persembahan diperagakan Paul Pogba selepas kembali daripada kecederaan membuktikan betapa dia adalah pemain yang begitu penting buat Manchester United.

United bergelut sejak ketiadaan Pogba yang menyaksikan mereka sekadar meraih empat mata daripada empat perlawanan, namun mereka kembali berbisa selepas dia kembali beraksi ketika bertemu Newcastle United, Sabtu lalu.

Dengan satu gol dan satu bantuan gol, Pogba dipilih selaku pemain terbaik perlawanan dan persembahannya membantu United mendapat semula rentak perlawanan yang hilang selepas ketiadaannya selama dua bulan akibat kecederaan sebelum ini.

POGBA dipilih selaku pemain terbaik perlawanan ketika bertemu Newcastle United, Sabtu lalu. - Foto AFP

"Dia memberi kesan kepada corak permainan kami," kata pengendali The Red Devils, Jose Mourinho.

"Kami semua tahu, saya dan pemain saya tahu bahawa ada sebahagian pemain membawa impak kepada tahap persembahan pasukan. Dengan adanya dia, kita memiliki lebih kreativiti."

Kepentingan Pogba bersama United mula dirasai selepas dia diketepikan kerana mengalami kecederaan hamstring pada aksi menentang Basel, 12 September lalu.

KEPENTINGAN Pogba bersama United dirasai kerana dia menentukan corak permainan dan memiliki kreativiti. - Foto AFP

"Saya rasa ketiadaan Pogba adalah satu kehilangan besar kerana dia memiliki keyakinan dan lagaknya." kata bekas kapten United, Gary Neville selepas United tewas 1-0 di tangan Chelsea.

"Dia membawa bola ke kawasan yang sukar, berjaya mengawalnya dengan baik dan melepasi kawalan pemain lawan."

Paul Scholes pula menjelaskan ketiadaan Pogba menyebabkan Romelu Lukaku terus kehilangan bisanya sebagai penggempur.

POGBA dipilih selaku pemain terbaik perlawanan ketika bertemu Newcastle United, Sabtu lalu. - Foto AFP

"Pogba menjadi pemain yang menyatukan keseluruhan pasukan ini.

"Lukaku masih perlu bekerja keras namun kemasukan Pogba dapat memberi perbezaan," katanya. - AFP

Berita Harian X