Selasa, 21 November 2017 | 7:53am
PEMAIN Brighton meraikan gol penyamaan ketika bertemu Stoke. - Foto AFP

Izquierdo kecewakan Stoke City

BRIGHTON: Jose Izquierdo membantu Brighton mengutip satu mata apabila anak buah Chris Hughton bangkit dua kali untuk mengikat Stoke City 2-2 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), hari ini.

Stoke mendahului permainan dua kali, kali pertama menerusi jaringan Eric Maxim Choupo-Moting dan gol kedua oleh Kurt Zouma, namun Brighton bangkit mengikat kedudukan hasil jaringan Pascal Gross serta Izquierdo.

"Apabila anda ketinggalan dua kali, anda perlu menunjukkan karakter dan kami berjaya," kata Hughton.

"Kami perlu realistik. Kami menentang pasukan dengan pemain lebih baik. Kalau anda tidak boleh menang, sekurang-kurangnya anda tidak perlu kalah."

KURT Zouma (tiga dari kiri) menanduk masuk bola untuk gol kedua Stoke ketika bertemu Brightonhe. - Foto AFP

Keputusan seri itu menyaksikan Brighton kini belum tewas dalam lima perlawanan berturut-turut buat kali pertama di liga divisyen utama England sejak kali terakhir pada Mac hingga April 1983.

Stoke terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-28 selepas hantaran Xherdan Shaqiri disudahkan Choupo-Moting sebelum Gross mengikat kedudukan pada minit ke-44.

Stoke mendahului 2-1 di penghujung babak pertama apabila Zouma meledak gol kedua buat pelawat namun Izquierdo memastikan kedua-dua pasukan berpuast hati dengan satu mata apabila meledak gol penyamaan pada babak kedua.

PEMAIN Stoke, Eric Maxim Choupo-Moting (tengah) cuba lepasi dua pemain pertahanan Brighton pada aksi EPL di Stadium The American Express Community. - Foto AFP

"Brighton tidak mencipta banyak peluang jadi kami kecewa dengan jaringan yang mereka perolehi," kata pengurus Stoke City, Mark Hughes.

"Apapun, ia sudah cukup baik untuk satu mata di tempat lawan." - AFP

Berita Harian X