Ahad, 19 November 2017 | 12:59pm
ANTOINE Griezmann menolak tawaran Manchester United dengan menandatangani kontrak baharu bersama Atletico. - Foto AFP

Simeone pertahan Griezmann

MADRID: Jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone menegaskan beliau akan mempertahankan bintang penyerangnya, Antoine Griezmann sehingga mati selagi dia kekal sebagai pemain Atletico, selepas seri tanpa jaringan dengan musuh setempat, Real Madrid, awal pagi tadi.

Griezmann menolak tawaran Manchester United yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya dengan menandatangani kontrak baharu bersama Atletico, selepas kelab itu gagal dalam rayuan berhubung isu perpindahan pemain pada Jun lalu.

Bagaimanapun, Griezmann yang menjadi penjaring terbanyak Atletico dalam tempoh tiga musim terakhir hanya menjaringkan tiga gol setakat ini dan semuanya dalam lapan perlawanan bersama kelab itu.


JURULATIH Atletico Madrid, Diego Simeone akan mempertahankan penyerangnya, Antoine Griezmann sehingga mati selagi dia kekal sebagai pemain Atletico. - Foto REUTERS

Di sebalik kemerosotan prestasinya, penyerang antarabangsa Perancis itu terus dikaitkan dengan kelab lain, termasuk Barcelona dan dia diejek oleh sekumpulan penyokong Atletico ketika digantikan pada minit ke-75.

"Selagi orang itu berada dalam keluarga saya, saya bersama mereka sehingga mati. Saya sentiasa berfikiran begitu dan saya tidak akan mengubahnya.

"Semua pemain perlu menunjukkan kemampuan mereka dan bukan saja Griezmann," kata Simeone.


ANTOINE Griezmann (kiri) bersaing dengan pemain Real, Raphael Varane pada aksi La Liga di Wanda Metropolitan. - Foto AFP

Atletico sekali lagi berdepan masalah di bahagian serangan, dengan Angel Correa dan pengganti Griezmann, Kevin Gameiro terlepas peluang terbaik bagi menjaringkan gol.

Keputusan seri antara Atletico dengan Real itu menyaksikan Barcelona kekal di tangga teratas liga dengan kelebihan 10 mata selepas mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas Leganes.

"Jurang mata sangat besar tetapi ia akan berubah kerana Barcelona tidak sentiasa akan menang. Perkara yang kami kurang adalah gol, saya tidak boleh kritik pemain dalam perlawanan ini kerana kami berhak mendapat lebih baik.

"Kami perlu lebih bersabar kerana kami di landasan tepat," kata jurulatih Real, Zinedine Zidane. - AFP

Berita Harian X