Ahad, 19 November 2017 | 10:45am
PEMAIN Liverpool, Mohamed Salah (kiri) meraikan jaringan bersama Georginio Wijnaldum ketika bertemu Southampton pada aksi EPL, malam tadi. - Foto REUTERS

Klopp puji Salah

LIVERPOOL: Mohamed Salah meledak dua gol untuk membantu Liverpool meraih kemenangan 3-0 ke atas Southampton, sekali gus terus berada pada landasan tempat untuk menghambat pendahulu liga, Manchester City.

Pemain antarabangsa Mesir itu melonjak selaku penjaring terbanyak liga dengan sembilan gol, hasil dua gol pada separuh masa pertama dan Philippe Coutinho meledak satu lagi gol pada babak kedua.

Liverpool mendahului selepas setengah jam perlawanan apabila Georginio Wijnaldum melakukan hantaran kepada Salah yang melencongkan bola melepasi kawalan Fraser Forster dalam jarak 16 meter.


MOHAMED Salah cuba dihalang pemain Southampton, Sofiane Boufal (no 19) pada aksi di Anfield, malam tadi. - Foto Reuters

Sebelum babak pertama berakhir, Salah menyambut hantaran Coutinho dan walaupun Forster cuba menutup ruang, rembatan pemain berusia 25 tahun itu tetap mampu menerjah gawang untuk gol kedua The Reds pada perlawanan terbabit.

Setakat ini, tiada mana-mana pemain di dalam kelab yang merekodkan jaringan lebih daripada yang dilakukan Salah selepas 12 penampilan dalam Liga Perdana, - apabila dia melepasi rekod Robbie Fowler yang menjaringkan lapan gol.


PHILIPPE Coutinho menjaringkan gol ketiga Liverpool pada aksi EPL bertemu Southampton di Anfield, malam tadi. - Foto Reuters

Gol ketiga pula hadir menerusi gerakan daripada Sadio Mane dan Firmino yang melakukan percubaan tetapi berjaya ditepis Forster, sebelum Coutinho lebih pantas menolak bola muntah untuk gol ketiga Liverpool.

Prestasi yang dipamerkan Salah itu membuatkan pengurus, Jurgen Klopp menghamburkan pujian ke atasnya dan menyifatkan pemain ini sebagai pencetus kebangkitan pasukan.

"Dia berada dalam keadaan serta prestasi terbaik," kata Klopp. "Ia bagus untuk kami, bagus untuk pasukan. Gol pertama, kedudukan bola agak jauh dan kami cuba memenangi pertarungan merebut bola.

"Situasi agak jelas, saya boleh katakan, sebenarnya peluang ketika itu tidak begitu baik. Ia jaringan menakjubkan,"

"Gol kedua? Permainan menarik. (Lihat) Bagaimana hantarannya.


JUERGEN Klopp memeluk Philippe Coutinho selepas pemain itu menjaringkan gol ketiga ketika menewaskan Southampton. - Foto Reuters

"Saya cukup yakin, Coutinho pernah melakukan beberapa hantaran seperti ini dalam hidupnya tetapi peluang seperti ini sukar diraih di kawasan kotak penalti dan pemain yang menerimanya tidak ofsaid.

"Ia memang klasik," kata Klopp yang mengakui pasukannya perlu lebih banyak mengambil peluang untuk membuktikan mereka lebih baik berbanding lawan yang menyingkirkan Liverpool di separuh akhir Piala Liga, musim lalu.

"Southampton adalah pasukan yang bagus. Ada masanya kami mempamerkan aksi yang sama, tetapi gagal menembusi gawang. Sebab itulah kami lebih pentingkan gol dan bernasib baik selepas meraih jaringan. Itu yang membezakan dua pasukan,"

Ketika ini, Liverpool berada di tangga kelima liga, 12 mata ketinggalan di belakang pendahulu, Manchester City dan tiga mata di belakang Chelsea, di tangga kedua. - AFP

42 dibaca
Berita Harian X